Salah sebuah cawangan Restoran Mios Kicthen di Seksyen 13 Shah Alam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
RENCANAWAWANCARA

Bermula bawah pokok kini jutawan restoran

SEPULUH tahun lalu, keluarga Mior Azim Badalishah hanya berniaga lauk-pauk di bawah pokok.

Nasi putih, lauk dan kuih tidak habis itu perkara biasa. Sedih tetapi pasrah. Begitulah adat berniaga, fikir mereka ketika itu.

Bersama adik, Mior Amin, 30, dan ibu mereka Sharifah Khazaimah Syed Hassan, 56, serta bapa saudaranya Syed Sofian Syed Hassan, 43, mereka sekadar mahu meneruskan hidup.

Langsung tidak terlintas untuk mengembangkan perniagaan. Janji cukup makan-pakai, asal perut terisi, itu sudah memadai, bersyukur bagai.

“Akhirnya perniagaan kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ia tidak ke mana-mana,” kata Mior Azim, 35, kepada SelangorKini saat mengenang nostalgia berniaga di Kinrara, Puchong.

Hanya selepas melanjutkan pelajaran di sebuah institusi pengajian swasta dalam program kulinari, fikirannya mula terbuka untuk memajukan diri dan keluarga. Kini, beliau ada cita-cita.

Membina impian

Kali ini, bukan setakat mengubah lokasi niaga bawah pokok semata-mata. Mereka punya misi mahu mengembangkan perusahaan bertaraf empayar kalau boleh.

Selepas tamat pengajian pada 2014 dalam tahun itu juga Mior Azim dan keluarganya membuka perniagaan menjual makanan ala-Barat di Medan Selera Matahari, Petaling Jaya.

“Di sinilah Hijrah Selangor membantu memajukan perniagaan. Kami mendapat pembiayaan RM30,000 yang boleh dikatakan besar bagi operasi di medan selera. Pinjaman kami meningkat kepada RM135,000 selaras kemajuan.

Sehingga 2017, mereka berjaya membuka sembilan medan selera yang menjual pastri, makanan Jepun, makanan ala-Barat, sup, kopi dan makanan berasaskan nasi.

“Boleh saya katakan Hijrah Selangor memacu kemajuan kami,” kata Mior Azim lagi.

Sepanjang membuat pinjaman itu, beliau sentiasa memastikan ia dilunaskan mengikut tempoh.

“Kalau hendak dapat RM3 juta kena bayar RM30,000 yang dipinjam. Kalau saya tidak bayar pinjaman RM50,000 mungkin sekarang saya tidak dapat nikmati pendapatan sekarang,” katanya.

Kemajuan kian melonjak apabila mereka membuka restoran atas jenama sendiri Mios Kitchen pada Mei 2017. Hidangannya menggabungkan menu sembilan medan selera milik mereka. Dari situ mereka mengorak langkah.

Kini, mereka boleh tersenyum puas apabila memiliki empat restoran di Bandar Kinrara; Putrajaya; Alami Garden, Seksyen 13 dan Seksyen 15, Shah Alam dan sebuah dewan majlis.

Pendapatannya melimpah ruah, bukan lagi cukup-cukup makan seperti dulu.

Balas budi

Kerana itu, bagi Mior Azim yang boleh dianggap jutawan, jasa Hijrah Selangor cukup besar.

Dari bantuan modal pusingan RM30,000, mereka meluaskan perniagaan sehingga mampu berdiri di kaki sendiri, di puncak gemilang.

“Sekarang kami tidak membuat pinjaman dengan Hijrah Selangor. Fokus kami sudah beralih dan bukannya membuka perniagaan kecil-kecilan.

“Namun jasanya amat besar dan sebagai penerima manfaat, kami mahu membalas jasanya dalam apa jua cara sekalipun,” katanya yang menyimpan impian mengembangkan jenama Mios Kitchen ke luar negara.

Sebagai membalas budi, Mior Azim turut terlibat memberi motivasi kepada bakal usahawan Hijrah Selangor beberapa tahun lalu.

Baginya, agensi itu telus dan tidak ‘pilih bulu’ dalam menghulurkan bantuan. Asalkan cukup syarat – ada sijil perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan sebagainya – serta paling penting ada kemahuan untuk berusaha.


Pengarang :