Operasi sanitasi blok utama Parlimen Malaysia yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dijalankan oleh Pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Julai 2020. Foto Facebook Parlimen Malaysia
AGENDANASIONAL

Bomba nyahkuman bangunan Parlimen sebelum mula sidang

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Menjelang persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula esok sehingga 27 Ogos ini, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini menjalankan operasi sanitasi di bangunan Parlimen.

Menurut status di Facebook Parlimen Malaysia, operasi sanitasi diketuai Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur Khairul Azuwan Ibrahim serta 40 anggota bomba.

Kerja-kerja sanitasi itu antara pematuhan terhadap tatacara operasi piawai (SOP) Pelaksanaan Persidangan Parlimen dengan mengambil kira kebiasaan baharu untuk memerangi pandemik Covid-19.

Menerusi gambar yang turut dimuat naik dengan status itu, kelihatan anggota JPBM menjalankan operasi sanitasi di Blok Utama Parlimen yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara meliputi setiap ruangan, termasuk tempat bersidang, lobi dan tangga.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meluluskan SOP Pelaksanaan Persidangan Parlimen dengan mensyaratkan pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan cecair pembasmi kuman dan jarak sosial satu meter tempat duduk semasa persidangan.

Menurutnya, semua yang terlibat termasuk ahli Parlimen, pegawai kerajaan dan petugas media perlu menjalani proses pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera serta saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

“Hanya ahli parlimen dan pegawai dibenarkan masuk ke dewan persidangan manakala hanya petugas media dan penjawat awam dibenarkan berada di bangunan Parlimen,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :