Dua kakitangan Jabatan Kesihatan Johor Bahru memantau simptom demam penumpang yang keluar masuk dari Singapura bagi mencegah penularan Covid-19 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar pada 4 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Buka sempadan perkara terakhir kerajaan tangani Covid-19

PONTIAN, 11 JULAI: Pembukaan pintu sempadan menjadi perkara terakhir dilaksanakan kerajaan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dan memastikan trend jangkitan kes import berkurangan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata langkah itu diambil kerana kebanyakan kes baharu yang direkodkan dalam negara merupakan kes dari luar (kes import).

“Dalam protokol kita menjaga atau menangani Covid-19, antara perkara yang kita sangat berhati-hati ialah kawalan terhadap sempadan.

“Sempadan kita bukan hanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tetapi Johor, sempadan bersama Thailand, sempadan di Sabah serta Sarawak dan pintu masuk melalui jalan,” katanya yang ditemui dalam sebuah majlis di sini hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas sama ada kementeriannya bersedia untuk menyaring lebih ramai individu susulan terdapat rancangan membuka pintu sempadan kepada negara yang dikategorikan sebagai zon hijau dalam kes Covid-19, termasuk Singapura.

-BERNAMA


Pengarang :