Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Mess Kanan, Bukit Aman pada 26 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bukit Aman siasat Al Jazeera dalam masa terdekat

PUTRAJAYA, 7 JULAI: Polis akan memanggil pengendali Al Jazeera dan wartawannya dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dokumentari agensi berita antarabangsa itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata siasatan dilakukan menurut beberapa peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

“Kita akan tengok dari sudut undang-undang selepas dia menjawab soalan-soalan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini selepas menghadiri perasmian Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid semalam mengesahkan polis memulakan siasatan berhubung laporan itu dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

Sementara itu, mengenai dakwaan beberapa wakil daripada inisiatif Parlimen Digital dihubungi polis selepas mereka menamatkan sidang maya pada 4 Jun lepas, Abdul Hamid berkata semakan dalaman mendapati tiada individu yang dipanggil polis setakat ini.

“Siapa yang rasa dirinya ditindas sila tampil ke depan. Saya nak tahu siapa yang dipanggil, polis mana yang panggil kerana setakat ini selepas disemak tidak ada pihak saya yang memanggil mereka.

“Saya minta kerjasama yang buat aduan untuk tampil ke depan dan jangan bimbang kita akan ambil tindakan yang seadil-adilnya,” katanya.

Abdul Hamid berkata tidak ada tindakan jenayah yang dibuat terhadap sidang maya Parlimen Digital yang digerakkan kumpulan belia tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :