Datuk Huzir Mohamed pada sidang media di Bukit Aman pada 30 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Buku hina Jata Negara, polis rampas 313 naskhah belum terjual

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Sejumlah 313 naskah buku didakwa menghina Jata Negara dirampas polis dalam serbuan ke atas sebuah syarikat percetakan di Petaling Jaya, Selangor, petang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata rampasan dilakukan selepas siasatan mendapati sejumlah 1,000 naskah buku berkenaan dicetak sebelum ini, bagaimanapun sebanyak 687 naskah terjual secara dalam talian.

“Sepasukan pegawai dan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman telah dikerah ke sana sejak 3 petang tadi (semalam) bagi merampas baki 313 naskah yang masih disimpan di syarikat berkenaan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini semalam.

Jelasnya, polis kini dalam proses meneliti naskah buku berkenaan selain telah mengenal pasti individu terbabit yang melakar kulit buku berkenaan.

Mengulas lanjut, Huzir berkata tangkapan ke atas individu mempunyai kaitan dalam penghasilan buku itu akan dibuat sekiranya terdapat keperluan.

Polis dalam masa sama menerima sebanyak 32 laporan berhubung kes berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

Semalam, tular di media sosial sebuah buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias kulit buku berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :