AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, meneruskan momentum peningkatan yang dicatatkan minggu lepas.

Pada pukul 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 3.52 mata kepada 1,556.17 berbanding 1,552.65 ketika ditutup Jumaat lepas.

Indeks utama dibuka 1.14 mata lebih tinggi pada 1,553.79.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 303 berbalas 106, manakala 271 kaunter tidak berubah, 1,244 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 460.23 juta saham bernilai RM182.23 juta.

Dalam nota penyelidikannya, Malacca Securities Sdn Bhd berkata selepas lima hari berturut-turut mencatatkan peningkatan, ia berpendapat walaupun trend menaik masih utuh tetapi ia akan terkekang oleh situasi pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Ia menambah, meskipun pemulihan ekonomi global lebih baik daripada dijangkakan, para pelabur kini telah mengalihkan perhatian mereka kepada sekumpulan pendapatan korporat yang akan diumumkan di AS bagi menilai kesan pandemik berkenaan.

“FBM KLCI terus meningkat dan berlegar dalam zon positif sepanjang sesi urus niaga dengan indek utama mencatatkan keuntungan mingguan pertamanya dalam tempoh empat minggu.

“Langkah itu memungkinkan keuntungan seterusnya iaitu pada paras halangan 1,580 dan 1,590 manakala sokongan ditambatkan antara 1,510 dan 1,500,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Tenaga dan Petronas Chemicals, masing-masing menokok empat sen kepada RM11.80 dan RM6.72, Public Bank naik dua sen kepada RM17.08 dan Hartalega lebih tinggi 30 sen kepada RM16.30.

Maybank kekal pada RM7.71.

Saham paling cergas pula, Anzo mengukuh dua sen kepada 20 sen, Sino Hua-An naik 1.5 sen kepada 10.5 sen, Vivocom meningkat setengah sen kepada empat sen manakala DGB Asia dan Fintec Global, masing-masing tidak berubah pada tiga sen dan 7.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 31.35 mata kepada 10,939.38, Indeks FBMT 100 melambung 31.20 mata kepada 10,791.77.54 dan FBM 70 meraih 65.89 mata kepada 13,393.59.

Indeks Shariah FBM Emas lebih tinggi 50.34 mata kepada 12,532.72 dan FBM ACE melonjak 98.72 mata kepada 6,839.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 2.11 mata kepada 13,075.94, Indeks Perladangan jatuh 4.87 mata kepada 6,808.48, tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.51 mata kepada 140.68,

– BERNAMA


Pengarang :