AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu saham modal kecil, kesihatan

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, dipacu prestasi kaunter bermodal kecil dan indeks penjagaan kesihatan ketika pelabur beralih kepada saham bermodal kecik dan sederhana.

Pada 09.04 pagi, FBM Ace naik 0.77 peratus manakala FBM MSCS menokok 1.2 peratus.

Kaunter penjagaan kesihatan terus mencatat momentum pengukuhannya, didorong oleh saham-saham farmaseutikal ketika ia mencatatkan jumlah nilai dagangan terbesar sebanyak RM93.06 juta.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka menokok 0.35 mata kepada 1,587.33.

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 260 berbanding 102 manakala 280 kaunter tidak berubah, 1,345 tidak didagangkan dan 16 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 912.44 juta unit bernilai RM269.47 juta.

Sementara itu, seorang penganalisis ekuiti berkata saham-saham farmaseutikal itu menyaksikan peningkatan sejak semalam, didorong oleh sentimen optimis mengenai penemuan vaksin Covid-19.

“Pharmaniaga, Duopharma, Kotra dan Apex telah mencatat prestasi kukuh dan dijangkakan kaunter berkenaan akan meneruskan momentum sepertimana yang diraih oleh sektor sarung tangan getah.

“Bagaimanapun, memandangkan ini hanya membabitkan penggiat tempatan, pergerakan itu tidaklah mendadak seperti yang dialami sektor sarung tangan,” katanya.

Bagi saham bermodal kecil dan sederhana, beliau berkata pelabur kekal optimis dengan kaunter baharu juga mencatat kenaikan sejak disenaraikan.

Menurutnya, pelabur institusi juga kekal optimis terhadap prestasi pasaran dengan kaunter yang baharu disenaraikan turut mencatat kenaikan positif.

Syarikat yang baharu disenaraikan di pasaran ACE hari ini yang mewakili sektor pembinaan, kumpulan TCS merekodkan kenaikan 152 peratus sejak dagangan dibuka apabila ia menokok 35 sen kepada 58 sen.

Mengulas prestasi KLCI, firma pembrokeran Malacca Securities dalam nota penyelidikannya hari ini berkata indeks itu dijangkakan kekal dalam peringkat konsolidasi ketika aliran peningkatan yang dipacu oleh kaunter sarung tangan, berkemungkinan reda.

“Pada masa sama, penilaian lebih tinggi akan memacu peningkatan pada masa ini. Namun, pasaran yang didorong oleh mudah tunai mencukupi akan terus menyediakan lebih banyak peluang dagangan apabila aktiviti belian secara bergilir-gilir mendominasi senario pasaran semasa,” katanya.

Dari segi penilaian teknikal, keadaan tidak menentu kebelakangan ini berkemungkinan akan memanjangkan tempoh konsolidasi dengan paras rintangan kekal pada 1,615 dan seterusnya pada 1,620.

Paras sokongan pula dijangkakan pada 1,560 dan seterusnya 1,530.

Saham wajaran tinggi menyaksikan hampir dua pertiga komponen indeks tidak diniagakan manakala Top Glove naik lapan sen kepada RM24.78 dan Public Bank susut lapan sen kepada RM17.80.

Bagi saham aktif, hampir semua sektor mencatatkan dagangan positif dengan XOX naik satu sen kepada 19.5 sen, Bioalpha naik tujuh sen kepada 25 sen dan Boustead meraih setengah sen kepada 82 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 15.33 mata kepada 11,275.62, Indeks FBMT 100 menokok 10.62 mata kepada 11,111.30 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 30.97 mata pada 13,092.51.

FBM 70 pula meningkat 45.90 mata kepada 14,202.98 dan FBM ACE melonjak 59.46 mata kepada 7,733.50.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 14.78 mata kepada 13,419.93, Indeks Perladangan naik 1.94 mata kepada 7,034.33 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.47 mata kepada 140.34.

-BERNAMA


Pengarang :