Selangorkini
Bangunan Bursa Malaysia. Foto: BERNAMA
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, pelabur kembali pasaran

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Bursa Malaysia mengenepikan trend bursa serantau untuk dibuka tinggi pagi ini dengan pelabur kembali ke pasaran, membeli ketika harga saham murah terutamanya saham berkaitan sarung tangan seperti Top Glove dan Hartalega yang mana kedua-duanya mencatatkan kerugian berikutan aktiviti pengambilan untung Jumaat lepas.

Pada 9.05 pagi, penanda aras pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 4.59 mata atau 0.29 peratus kepada 1,594.20 daripada 1,589.61 ketika ditutup Jumaat lepas.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran kembali positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 305 berbalas 168, manakala 290 kaunter tidak berubah, 1,246 tidak diniagakan dan 28 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 646.61 juta unit bernilai RM330.83 juta.

Keuntungan dalam kalangan saham berwajaran tinggi telah didahului oleh Top Glove yang mengukuh 46 sen kepada RM25.90 dan Hartalega meningkat 14 sen kepadao RM17.82.

Maxis menokok lima sen kepada RM5.30, Tenaga naik lapan sen kepada RM11.32 dan Petronas Dagangan menambah 10 sen kepada RM20.72.

Pencatat untung teratas dikuasai oleh kaunter berkaitan sarung tangan, termasuk Kossan, melonjak 46 sen kepada RM14.26, Careplus melambung 41 sen kepada RM2.87, Comfort lebih tinggi 17 sen kepada RM4.37, Supermax mengukuh 16 sen kepada RM17.30 dan Rubberex meningkat 13 sen kepada RM3.71.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, Nexgram meraih setengah sen kepada enam sen, Jadi, Securemetic dan Iris, masing-masing menokok satu sen kepada 10.5 sen, 13.5 sen dan 30.5 sen sementara Eduspec dan Pegasus, kedua-duanya tidak berubah pada lima sen dan 2.5 sen.

Walaupun bursa tempatan menyaksikan keuntungan hari ini, sentimen urus niaga masih lagi dalam kebimbangan ekoran ketegangan yang kian memuncak antara Amerika Syarikat dan China.

Dalam notanya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat kelemahan di bursa tempatan akan berpanjangan kerana para pelabur memilih sikap berhati-hati selepas peningkatan ketara baru-baru ini.

Secara teknikalnya, firma itu mengunjurkan paras halangan FBM KLCI ialah pada 1,615, diikuti dengan 1,630, sementara sokongan pada 1,560 dan 1,530.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 37.58 mata kepada 11,309.76, Indeks FBMT 100 lebih tinggi 33.39 mata kepada 11,147.44 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 72.36 mata kepada 13,170.41.

Indeks FBM 70 melambung 47.60 mata kepada 14,201.89 dan FBM ACE meningkat 103.14 mata kepada 8,001.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 5.85 mata kepada 13,411.78, Indeks Perladangan untung 21.94 mata kepada 7,136.97 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.59 mata kepada 140.24.

-BERNAMA


Pengarang :