AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dijangka berlegar di paras 1,600

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Bursa Malaysia dijangka berlegar di paras 1,600 mata minggu depan dengan kecenderungan meningkat berikutan perkembangan luaran yang bercampur aduk, kata para peniaga.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata pasaran dijangka terus meningkat lebih tinggi berikutan keyakinan terhadap perkembangan penyelidikan vaksin Covid-19.

Manakala bagi perkembangan negatif, Innes berkata, pasaran juga akan mencerna data jualan runcit China yang lebih buruk daripada dijangkakan.

Jualan runcit China pada Jun turun sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun, lebih buruk daripada unjuran pertumbuhan 0.3 peratus sebelumnya, selepas mencatatkan penurunan sebanyak 2.8 peratus pada Mei.

Ini membayangkan pengguna tidak berbelanja dan memberi prospek buruk kepada jangkaan pemulihan ekonomi didorong pengguna dan mungkin menjejaskan ekonomi serantau seperti Malaysia yang mempunyai hubungan eksport kukuh dengan republik itu.

Selain itu, Innes memberi tahu Bernama, harga minyak yang stabil meskipun jangkaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengundurkan pengeluaran, akan memberikan prospek positif kepada kaunter minyak dan gas.

Minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate kedua-duanya berada di atas paras US$43 dan US$40 setong pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata pelabur akan lebih menumpukan kepada perkembangan terkini berkaitan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China apabila pentadbiran Presiden Donald Trump menimbang larangan perjalanan ke AS ke atas ahli-ahli Parti Komunis China dan keluarga mereka.

“Dari segi sejarah, sebarang perkembangan negatif hubungan antara AS dan China akan menjejaskan ekuiti Asia secara keseluruhannya,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) disokong oleh perkembangan positif berkaitan vaksin Covid-19 dan peningkatan saham penjagaan kesihatan, susulan belian kukuh dalam saham pengeluar sarung tangan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama itu meningkat 4.49 mata untuk ditutup kepada 1,596.33 daripada 1,591.84 pada minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 65.64 mata kepada 11,272.45, Indeks FBMT 100 naik 68.83 mata kepada 11,130.21 manakala Indeks FBM Emas Shariah menokok 187.33 mata kepada 12,999.28.

FBM 70 meningkat 235.89 mata kepada 14,052.74 dan Indeks FBM ACE naik 315.25 mata kepada 7,490.9.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 107.74 mata kepada 6,968.82, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 30.80 mata kepada 13,577.44 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.38 mata kepada 138.68.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 45.32 bilion unit bernilai RM28.93 bilion daripada 47.26 bilion unit bernilai RM24.58 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 21.69 bilion saham bernilai RM23.41 bilion daripada 27.37 bilion saham bernilai RM20.36 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.96 bilion unit bernilai RM1.97 bilion daripada 3.34 bilion unit bernilai RM1.26 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 19.08 bilion saham bernilai RM3.35 bilion daripada 16.54 bilion saham bernilai RM2.96 bilion.

-BERNAMA


Pengarang :