AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dijangka ikuti prestasi bursa serantau

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Bursa Malaysia dijangka mencatatkan prestasi dagangan sejajar dengan bursa serantau minggu depan, memandangkan pasaran mungkin meneruskan kenaikan kukuh didorong laporan positif mengenai perkembangan vaksin Covid-19 yang berpotensi, kata penganalisis.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata kesan ekonomi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah buruk namun apa yang lebih penting adalah penularan virus itu dapat dibendung.

“Walaupun terdapat perkembangan positif dalam beberapa minggu ini, kos ekonomi susulan PKP cukup besar.

“Bagaimanapun, respons menerusi dasar fiskal dan monetari juga sama-sama memberi impak luar biasa,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sentimen ke arah mengambil risiko juga digerakkan oleh keyakinan terhadap kejayaan penghasilan vaksin Covid-19 serta data lebih baik berbanding yang dijangkakan di peringkat global.

Innes berkata memandangkan harga minyak mentah kini mula meningkat secara beransur-ansur, terdapat sokongan dasar berterusan dari Bank Negara Malaysia kerana Malaysia masih mempunyai antara kadar dasar sebenar tertinggi di rantau ini iaitu hampir 5.0 peratus.

Bagi minggu yang baru berakhir, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) disokong oleh pembelian kukuh di seluruh papan seiring dengan kenaikan ketara di pasaran serantau.

FBM KLCI meningkat kepada hampir mencecah paras tertinggi harian semasa penutupan pada Isnin hingga Khamis, dan mencapainya semasa dagangan terakhir minggu ini apabila menokok 16.37 mata kepada 1,552.65.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks itu melonjak 64.51 mata untuk ditutup pada 1,552.65.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 449.87 mata kepada 10,908.03, Indeks FBMT 100 menokok 444.76 mata kepada 10,760.57 manakala Indeks FBM Emas Syariah menambah 645.07 mata kepada 12,482.38.

FBM 70 naik 541.55 mata kepada 13,327.7 dan Indeks FBM ACE melonjak 668.41 mata kepada 6,740.81.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 5.87 mata kepada 140.17, Indeks Perladangan meningkat 153.76 mata kepada 6,813.35 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 255.3 mata kepada 13,078.05.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 31.31 bilion unit bernilai RM18.23 bilion daripada 29.69 bilion unit bernilai RM13.57 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 14.83 bilion saham bernilai RM14.39 bilion daripada 15.93 bilion saham bernilai RM11.22 bilion.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 2.49 bilion unit bernilai RM714.48 juta daripada 1.83 bilion unit bernilai RM386.93 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula menambah kepada 13.98 bilion saham bernilai RM3.12 bilion daripada 11.93 bilion saham bernilai RM2.36 bilion.

-BERNAMA


Pengarang :