Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dato’ Seri Amirudin Shari serta beberapa pimpinan melaungkan reformasi selepas perasmian Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma, Ampang pada 26 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cabang KEADILAN Gombak lebih tersusun, demokrasi subur tanpa pengkhianat

SHAH ALAM, 28 JULAI: Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Gombak jauh lebih tersusun, malah amalan demokrasinya subur tanpa kelompok pengkhianat.

Ketua penerangannya berkata cabang itu juga semakin mantap melalui kepimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari selaku pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor.

“Budaya ampu, bodek dan kipas telah tiada sejak kuncu-kuncu pengkhianat meninggalkan parti keramat, kini tiada lagi pihak mengawal cabang KEADILAN Gombak mengikut kehendak nafsu individu tertentu.

“Ternyata cabang KEADILAN Gombak telah merdeka dan bergerak maju demi rakyat dan negara tercinta,” kata Syed Ali menerusi kenyataan malam tadi.

Menegaskan cabang itu kekal setia bersama Pakatan Harapan, beliau berkata mereka sedia berdepan pilihan raya umum ke-15 bagi memastikan mandat rakyat yang dikhianati dikembalikan kepada parti tersebut.

Syed Ali turut meminta Nor Hizwan Ahmad, setiausaha politik kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan, supaya tidak mencampuri urusan di Gombak.

“Sewajarnya Hizwan fokus usaha mencari parti politik sesuai untuk bos beliau (Zuraida Kamaruddin) sendiri yang masih kabur mencari haluan dan nafas politik,” kata beliau lagi.

Hizwan dalam kenyataan semalam menggambarkan KEADILAN tidak berpeluang menang kerusi parlimen Ampang dan Gombak pada pilihan raya akan datang.


Pengarang :