Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Conteng mural: Dakwa pemimpin PAKATAN terlibat hanya tanggapan

SHAH ALAM, 21 JULAI: Dakwaan segelintir pihak bahawa kegiatan laku musnah terhadap mural memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin negara mempunyai kaitan dengan Pakatan Harapan (PAKATAN) hanya tanggapan untuk menyalahkan pihak lain.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau turut bersama pemimpin negara mengecam perbuatan tidak mencerminkan adab dan tatasusila masyarakat selain menggesa tindakan tegas diambil kepada pelaku berkenaan.

“Saya faham ada kamera litar tertutup (CCTV) malah kita benarkan polis buat siasatan dan kenal pasti pelaku. Semua pemimpin dalam PAKATAN dan negara dari parti lain menunjukkan komitmen sama mengecam tindakan itu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas merasmikan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Mural gergasi dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 di sini memaparkan potret Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pemimpin tertinggi negara termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah semalam.

Polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan berdasarkan rakaman CCTV di lokasi kejadian.


Pengarang :