Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada 26 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 10 kes baharu, tujuh jangkitan luar negara

SHAH ALAM, 4 JULAI: Jumlah kes baharu positif Covid-19 hari ini meningkat kepada 10 berbanding lima semalam membabitkan tujuh kes import dalam kalangan rakyat Malaysia yang mendapat jangkitan luar negara.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki tiga kes adalah penularan dalam negara dengan satu daripadanya bukan warganegara iaitu saringan orang kena tahan (OKT) di Seremban, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke penjara.

“Dua lagi kes dalam kalangan warga tempatan direkodkan di Kuala Lumpur menerusi saringan pra pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Manakala di Sabah kes saringan petugas kesihatan yang telah tamat bertugas di sebuah pusat kuarantin di Likas,” kata ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 15 pesakit sembuh hari ini menjadikan jumlah yang pulih 8,461 kes atau 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Dr Noor Hisham berkata dua kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan memerlukan bantuan pernafasan manakala jumlah kematian kekal 121 orang.

Keseluruhannya, Malaysia mencatatkan 8,658 kes dengan 76 kes aktif kebolehjangkitan.


Pengarang :