Selangorkini
Penduduk berdiri di koridor asrama Selatan Tuas yang menempatkan perkerja asing yang dikawal ketat kerajaan Singapura ekoran penularan wabak Covid-19 pada 19 April 2020. Foto AFP
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 125 kes baharu di Singapura, 21 jangkitan dalam komuniti

SINGAPURA, 9 JULAI: Singapura mengesahkan tambahan 125 kes lagi dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 di republik itu sebanyak 45,423 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan hari ini, 21 daripada kes baharu itu adalah jangkitan dalam komuniti yang melibatkan empat rakyat tempatan atau pemastautin tetap, manakala 17 lagi pemegang pas kerja.

“Siasatan awal kami mendapati, daripada 21 kes itu, lima merupakan kontak rapat kes terdahulu dan telah dikuarantin. Siasatan untuk kes-kes lain sedang dijalankan,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, satu kes import turut dilaporkan dan pesakit sudah diletakkan di bawah kuarantin di rumah (SHN) sejurus tiba di Singapura.

Setakat ini Singapura telah mengeluarkan 93,600 SHN dengan 10,000 masih aktif.

Menurut kementerian itu, sebahagian besar kes yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas melibatkan pemegang pas pekerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat Rabu, Singapura mengklasifikasikan 607 daripada kes yang dilaporkan setakat ini sebagai kes import, 1,991 kes penularan dalam komuniti dan 42,700 adalah pekerja asing di asrama.

Setakat tengah hari semalam, 41,323 atau 92 peratus pesakit telah pulih sepenuhnya dan didiscaj dari hospital serta pusat jagaan komuniti.

Terdapat 215 kes masih dirawat di hospital setakat semalam dengan seorang berada di unit rawatan rapi.

Menurut kenyataan itu, seramai 3,734 pesakit yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif Covid-19 telah diasing dan dirawat di pusat jagaan komuniti.

Setakat ini, 26 maut akibat komplikasi Covid-19 di republik ini dengan dua kematian direkodkan pada 21 Mac.

Satu kluster baharu dikenal pasti semalam iaitu sebuah asrama di 12 Kian Teck Crescent manakala tujuh kluster lain, kesemuanya asrama, sudah diisytihar berakhir.

– BERNAMA


Pengarang :