Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto SUMBER KKM
AGENDANASIONAL

Covid-19: 13 kes baharu, lima penularan tempatan

SHAH ALAM, 29 JULAI: Sebanyak 13 kes baharu Covid-19 direkodkan di seluruh negara hari ini, sekali gus kembali mencatat penurunan berbanding 39 kes semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata setakat ini jumlah keseluruhan ialah 8,956 kes sementara 220 masih aktif dengan risiko kebolehjangkitan wabak berkenaan.

“Daripada 13 kes baharu, lima membabitkan penularan tempatan dengan tiga daripadanya adalah warganegara dan dua lagi rakyat asing.

“Sementara lapan lagi melibatkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu empat rakyat tempatan dan empat warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, lima kes pulih dari wabak berkenaan dengan jumlah kumulatif 8,612 kes iaitu 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Dilaporkan hanya dua kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan satu memerlukan bantuan pernafasan. Tiada pertambahan kematian berkaitan Covid-19 hari ini,” katanya.

Semalam 39 kes baharu Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah tertinggi sejak 15 Jun lalu.

Demikian perincian lima kes baharu membabitkan penularan tempatan:

• Johor: satu kes saringan di tempat kerja (iaitu sign-off kapal)
• Sarawak: satu kes daripada Kluster Sentosa
• Sabah: satu kes saringan bergejala di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
• Dua lagi kes membabitkan bukan warganegara

Perincian lapan kes baharu melibatkan jangkitan dari luar negara:

• United Kingdom dan India: masing-masing dua kes di Kuala Lumpur
• Filipina dan Pakistan: masing-masing satu kes di Kuala Lumpur
• Gambia dan Ukraine: masing-masing satu kes di Selangor


Pengarang :