Pasukan perubatan membantu pesakit mempunyai simptom Covid-19 menggunakan bot ambulan bagi mendapatkan rawatan di Brazil pada 27 Jun 2020. Foto: MICHAEL DANTAS / AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19 global: 566,075 maut, lebih 12.79 juta kes positif

PARIS, 13 JULAI: Sekurang-kurangnya 566,075 penduduk dunia amut akibat pandemik Covid-19 sejak ia dikesan di China Disember lalu.

Kes positif di seluruh dunia membabitkan 196 negara dan wilayah direkodkan sekurang-kurangnya 12,798,410 kes, lapor AFP.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 6,811,600 disahkan pulih.

Sejak 1900 GMT pada Ahad, 4,442 kematian dan 202,975 kes baharu direkodkan di seluruh dunia.

Brazil menjadi negara paling tinggi mencatatkan kematian pada Ahad dengan 1,071 kematian, diikuti Amerika Syarikat (AS) (636) dan India (551).

AS terus menjadi negara paling teruk terkesan akibat pandemik Covid-19 apabila mencatatkan jumlah kumulatif kematian 135,066 daripada 3,282,554 kes.

Selepas AS, Brazil dengan 71,469 kematian daripada 1,839,850 kes, United Kingdom (UK) (44,819 kematian daripada 289,503 kes), Itali (34,954 kematian daripada 243,061 kes) dan Mexico (34,730 kematian daripada 295,268 kes).

Negara yang mempunyai kadar kematian tertinggi adalah Belgium dengan 84 kematian per 100,000 penduduk, diikuti UK (66), Sepanyol (61), Itali (58) dan Sweden (55).

Jumlah itu diperoleh AFP daripada data yang dikumpul hasil maklumat daripada pihak berkuasa negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Bagaimanapun ia tidak memaparkan jumlah sebenar kes berikutan kebanyakan negara hanya menjalankan ujian ke atas kes bergejala dan serius.


Pengarang :