Selangorkini
Grafik: BERNAMA
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Hampir 98 peratus pesakit pulih, tiada kes kematian baharu

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman terkini mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 27 Jun hingga pukul 7 malam 3 Julai.

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia melepasi angka 8,000 sementara di peringkat global, kes wabak ini melepasi angka 11 juta dengan lebih 500,000 kematian. Sekitar 6 juta orang pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh. Pandemik Covid-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

Mula dikesan di negara ini pada 25 Jan 2020, Malaysia kini kian hampir untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 setelah menguatkuasakan beberapa tindakan pantas dan tegas termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Fasa pertama PKP bermula pada 18 Mac kemudiannya dilanjutkan sebanyak tiga fasa lagi sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini memasuki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dijangka berakhir 31 Ogos depan.

Kesemua PKP ini disertai dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan di samping amalan nasihat kesihatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Unjuran kerajaan untuk mencapai sifar kes baharu Covid-19 sekitar pertengahan Julai semakin dalam genggaman apabila hanya satu (1) kes dilaporkan pada Rabu 1 Julai dan itu pun kes import, melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari Turki. Tiada kes penularan tempatan pada hari berkenaan.

Pencapaian kes terendah ini ini adalah yang pertama kalinya sepanjang gelombang kedua pandemik Covid-19 melanda negara ini yang mula dikesan pada 27 Feb 2020.

Rekod kes baharu satu angka kekal sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 3 Julai dengan lima (5) kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,648 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah kurang daripada 100 kes, iaitu 81 kes.

Daripada lima (5) kes tersebut, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan melibatkan warganegara Malaysia. Dua lagi kes adalah penularan di dalam negara (di Sabah), melibatkan warganegara Malaysia.

Untuk rekod, kes satu (1) angka kedua terendah dilaporkan pada Selasa 30 Jun iaitu dua (2) kes dan tiga (3) kes pada Isnin 29 Jun dan tiga (3) kes pada Khamis 2 Julai. Kes dua (2) angka dicatat pada Sabtu 27 Jun dan Ahad 28 Jun, masing-masing 10 kes dan 18 kes.

Sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat, 3 Julai, seramai sembilan (9) orang pesakit Covid-19 di Malaysia telah pulih dan discaj, menjadikan jumlah kumulatif discaj, 8,446 kes iaitu 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes pulih sepanjang rangkuman mingguan, purata dua angka iaitu 14 ( Sabtu 27 Jun), 10 (Ahad 28 Jun), 16 (Isnin 29 Jun), 20 (Selasa 30 Jun), 21 (Rabu 1 Julai) dan 62 (Khamis 3 Julai).

Seramai dua (2) pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes baharu kematian berkaitan Covid-19 di Malaysia setakat 3 Julai, iaitu hari ke-19 berturut-turut angka kematian kekal 121 orang iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Amaran Kes Baharu Boleh Meningkat Semula

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan penurunan kes harian menggambarkan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri dan tanggungjawab sosial.

Beliau berharap setiap lapisan dan kumpulan masyarakat dapat mengamalkan jarak sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya 1 meter di antara satu sama lain, kebersihan kendiri yang tinggi, mengelakkan kawasan yang sempit dan sesak serta mengelak bertutur dengan jarak yang dekat.

Amalan tersebut adalah normal baharu yang perlu dibiasakan secara meluas dan berterusan bagi memastikan kejayaan memerangi wabak Covid-19.

KKM pada Khamis turut merujuk kepada lonjakan kes baharu Covid-19 di beberapa buah negara dalam Facebook rasmi kementerian.

KKM menyebut di Amerika Syarikat pada 1 Julai mencatatkan 46,185 kes dalam tempoh 24 jam. Brazil pula mencatatkan sebanyak 37,997 kes baharu dan India merekodkan 18,641 kes sehari. Secara keseluruhannya, Kes baharu dunia pada 1 Julai adalah tertinggi pernah direkodkan setakat ini iaitu kira-kira 196,000. Amerika Syarikat dan Brazil juga merekodkan jumlah kes dan kematian tertinggi di dunia.

Peningkatan yang besar itu adalah pada hari yang sama Malaysia mencatatkan kes terendah pernah direkodkan iaitu satu kes baharu dan sifar kes tempatan.

“Mengambil kira perkembangan semasa di seluruh dunia dan amaran yang telah diberikan WHO, KKM menyeru orang ramai agar tidak alpa dengan penurunan kes di negara kita. Kes boleh kembali meningkat jika kita leka. Jadi, terus patuhi SOP dan amalkan langkah-langkah pencegahan setiap masa di mana jua kita berada.”

WHO, Status Global

Tarikh 30 Jun menandakan genap enam bulan sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerima laporan pertama kluster kes pneumonia dari China, yang tidak diketahui puncanya.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapan alu-aluan pada taklimat media mengenai Covid-19 pada 29 Jun berkata, ulang tahun ke-enam bulan berlakunya pandemik Covid-19 turut menyaksikan jumlah kes melonjak kepada 10 juta dengan 500,000 kematian.

“Enam bulan lalu tidak ada siapa yang menduga bagaimana dunia kita, kehidupan kita, akan menjadi porak-peranda akibat virus baharu ini. Pandemik ini menyaksikan pelbagai perilaku kebaikan dan keburukan manusia sejagat. Di serata dunia, kita melihat begitu banyak pihak yang mengorbankan masa dan tenaga.

“Persoalan kritikal yang akan dihadapi semua negara dalam bulan-bulan mendatang ialah bagaimana untuk hidup dengan virus ini. Itulah normal baharu. Ada negara yang berjaya melaksanakan langkah untuk mengekang penularan wabak ini dan menyelamatkan nyawa, “ kata Dr Tedros.

Menurut beliau, ada negara yang mula mengalami gelombang baharu kes Covid-19 apabila mereka membuka ekonomi dan menarik balik kawalan pergerakan.

“Kita semua mahu pandemik ini berakhir tetapi realitinya, ianya belum lagi berlaku. Meskipun ada negara yang mencapai kemajuan, di peringkat global, wabak ini terus merebak. Kita perlu bersatu dalam hal ini dan ianya adalah untuk jangka masa yang panjang.”

Statistik Global Covid-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia, setakat rangkuman ini dibuat ialah 11,010,562 dan 524,559 kematian. Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh seramai 6,168,947 orang.

Amerika Syarikat terus mengekalkan tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda wabak Covid-19 dengan 2,837,189 kes dan 131,485 kematian. Kes positif Covid-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan.

Di Washington, pakar penyakit berjangkit Dr Anthony Fauci dlaporkan memberitahu Senat Amerika Syarikat pada awal minggu ini ” beliau tidak akan terkejut sekiranya kes baharu Covid-19 di negara itu meningkat sehingga 100,000 sehari. ”

Jumlah kes Covid-19 turut meningkat di Brazil yang menduduki tangga kedua dengan 1,501,353 kes dan 61,990 kematian, diikuti Rusia dengan 667,883 kes dengan 9,859 kematian dan India 628,205 kes dengan 18,241 kematian.

Di samping empat negara di atas, 16 buah negara merekodkan lebih 100,000 kes Covid-19, iaitu Sepanyol 297,183 kes (28,368 kematian), Peru 292,004 kes (10,045 kematian), Chile 284,541 kes (5,920 kematian), United Kingdom 283,757 kes (43,995 kematian), Itali 240,961 kes (34,818 kematian), Mexico 238,511 kes (29,189 kematian), Iran 232,863 kes (11,106 kematian), Pakistan 221,896 kes (4,551 kematian), Turki 202,284 kes (5,167 kematian), Arab Saudi 197,608 kes (1,752 kematian), Jerman 196,717 kes (9,064 kematian), Afrika Selatan 168,061 kes (2,844 kematian), Perancis 166,378 kes (29,875 kematian), Bangladesh 156,391 kes (1,968 kematian), Colombia 106,110 kes (3,641 kematian) dan Kanada 104,772 kes (8,642 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-22 dengan 83,542 kes dan 4,634 kematian (tidak berubah dari minggu-minggu sebelumnya).

Negara lain yang mencatat jumlah kes Covid-19 yang besar termasuk Qatar 97,897 kes (118 kematian), Mesir 71,299 kes (3,120 kematian) dan Sweden 70,639 kes (5,411 kematian).

Dalam kalangan negara-negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia masih menduduki tempat teratas dengan 60,695 kes dengan 3,036 kematian sementara Singapura merekodkan sebanyak 44,479 kes dengan 26 kematian (tidak berubah daripada minggu sebelumnya).

Sementara itu, Filipina mencatat 40,336 kes (1,280 kematian), Thailand 3,180 kes (58 kematian), Vietnam 355 kes ( 0 kematian), Myanmar 304 kes (6 kematian), Brunei 141 kes (2 kematian), Kampuchea 141 kes (0 kematian) dan Laos 19 kes (0 kematian).

– BERNAMA


Pengarang :