Seorang pekerja kesihatan memakai sut pelindungan diri membawa sampel ujian calitan berjalan melalui pasar tradisional di Jakarta, Indonesia pada 25 Jun 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Covid-19 Indonesia: 127 maut dalam 24 jam, tertinggi sejak 11 Mac

JAKARTA, 19 JULAI: Indonesia mencatatkan sejumlah 127 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam, yang tertinggi sejak kes kematian pertama pada 11 Mac, menjadikan angka korban keseluruhan setakat ini ialah 4,143 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkaitan Covid-19, Achmad Yurianto, berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 1,639 kes positif baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 86,521 kes.

“Sebanyak 37,505 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19,” katanya dalam sidang media harian yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,401 kes diikuti Jakarta (736 kes), Jawa Tengah (323), Sulawesi Selatan (279) dan selebihnya wilayah lain di Indonesia.

Daripada 127 kematian dalam tempoh 24 jam lepas itu, sebanyak 52 kes berlaku di Jawa Timur, 23 di Jawa Tengah, sembilan di Jakarta dan selebihnya di wilayah lain.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kes keseluruhan tertinggi iaitu 18,308 diikuti Jakarta (16,538) dan selebihnya di wilayah lain.

-BERNAMA


Pengarang :