Pengawal keselamatan memasang tali perentang di pintu masuk ke Medan Niaga Satok, Sarawak yang ditutup selama sehari kepada orang ramai pada 29 Julai 2020 untuk mencegah penularan wabak Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kemasukan 289 pelajar Kuching ke kolej matrikulasi ditangguh

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Kemasukan 289 pelajar dari daerah Kuching ke kolej matrikulasi di seluruh negara ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat berikutan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan Kementerian Kesihatan mengenal pasti daerah Kuching sebagai zon merah kelmarin.

Susulan itu, kemasukan 154 pelajar Kolej Matrikulasi Sarawak terletak di dalam daerah Kuching juga ditangguhkan.

“Pihak kolej matrikulasi akan menghubungi semua pelajar yang terlibat dengan penangguhan ini. Bagi pelajar yang telah membeli tiket penerbangan untuk kemasukan ke kolej matrikulasi dan terjejas akibat penangguhan ini, KPM akan menanggung kos tiket penerbangan baharu pada kadar kelas ekonomi.

“Pelajar perlu mengemukakan tuntutan yang disokong oleh dokumen pembelian tiket tersebut,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :