Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada 24 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes baharu turun angka tunggal, enam penularan tempatan

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kes baharu Covid-19 hari ini turun ke angka tunggal selepas sembilan kes dilaporkan berbanding 16 semalam dengan enam penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat daripada enam kes itu direkodkan di Sarawak membabitkan warganegara manakala dua lagi melibatkan warga asing di Sabah dan Kelantan.

“Tiga kes import dikesan dengan seorang darinya warganegara dan dua warga asing yang pulang dari Singapura, India dan Filipina.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi keseluruhan kes sebanyak 8,840 dengan 143 kes aktif. Lima pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lapan kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah sembuh 8,574 kes iaitu 97 peratus.

“Tiada kes kematian baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kekal 123 kes iaitu 1.39 peratus dari keseluruhan kes,” katanya.

 


Pengarang :