Jururawat memakai sut perlindungan diri memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur pada 21 April 2020. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Kes sembuh meningkat, satu kematian dicatatkan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Jumlah kes sembuh Covid-19 dalam negara kini 8,644 apabila 27 lagi pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan terkini pula seramai 207 susulan pertambahan 12 kes baharu yang dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

“Daripada 12 kes baharu dilaporkan, tujuh kes penularan tempatan yang dikesan di Kedah, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah membabitkan lima warganegara dan dua warga asing.

“Lima lagi kes merupakan kes import yang melibatkan tiga individu dari Indonesia, seorang manakala dua lagi dari Qatar dan United Kingdom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tiga pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU), seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Satu kematian membabitkan seorang lelaki warga Filipina berumur 64 tahun dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kematian sebanyak 125 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.


Pengarang :