Anggota Bomba dan Penyelamat Sarawak menjalankan proses nyahkuman di sekitar bandar Kuching pada hari kedua program pembersihan awam Covid-19 pada 30 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: KKM kesan dua lagi kluster baharu

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan sebuah pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram, Johor dan syarikat pembinaan Kuching di Sarawak.

Ketua pengarah kesihatan berkata Kluster Bukit Tiram dikenal pasti apabila dua individu bukan warganegara yang merupakan kakitangan pusat berkenaan positif Covid-19.

“Kedua-dua kes ini mula mengalami gejala pada 15 Julai lalu namun tidak mendapatkan rawatan segera di mana-mana fasiliti kesihatan dan kemudiannya membuat saringan Covid-19 sebelum dikesan positif pada 24 Julai.

“Sehingga hari ini, terdapat dua kes positif dan 10 orang kontak rapat dikenal pasti dalam kluster ini dan semua kontak sudah disaring serta masih menunggu keputusan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Syarikat Pembinaan Kuching pula dikesan dengan kes pertama pada 11 Julai lalu.

“55 kontak rapat dikenal pasti terdiri daripada lima rakan serumah serta 50 rakan sekerja sudah disaring dan didapati negatif Covid-19. Kluster ini dikenal pasti apabila satu kes positif iaitu kes ke-8881 dikesan daripada saringan ulangan kontak-kontak rapat kes ke-8715,” katanya.

Pertambahan kluster itu menjadikan keseluruhan 25 kluster dikesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan 10 Jun lalu.


Pengarang :