Selangorkini
Nor Azah Abd Aziz, 28, (kiri) dan adiknya Nor Anna Fadzillah Abd Aziz, 26, mengambil peluang bergambar dengan berlatar belakangkan pemandangan ibu kota dari dalam kabin ‘Sky Deck’ ketika promosi ‘We Are Free’ Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar di Menara Kuala Lumpur pada 4 Julai 2020. Foto: BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Orang ramai perlu terus waspada, elak penularan jangkitan

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Orang ramai diingatkan berwaspada terutamanya yang berada di kawasan awam bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti susulan jumlah kes positif kini kembali mencecah dua angka.

Meskipun hanya tiga kes penularan tempatan dilaporkan semalam namun, kawalan kendiri memainkan peranan penting dalam memutuskan rantaian jangkitan wabak itu dalam masyarakat.

Selagi tiada vaksin ditemui untuk merawat pandemik itu, tiada istilah ‘bebas’, orang ramai masih perlu membiasakan diri dengan kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 10 kes positif yang dilaporkan, tujuh daripadanya adalah kes import melibatkan warga tempatan.

Justeru, rakyat tempatan yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di rumah perlu memandang serius arahan kerajaan iaitu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutamanya menjalani ujian saringan kedua Covid-19 pada hari ke-13 kuarantin.

Sementara itu, latihan harian sepenuh masa melibatkan atlet di bawah program ‘ Road To Tokyo’ (RTT), Program Podium, Program Pelapis Kebangsaan akan bermula esok.

Seramai 539 atlet dan 142 jurulatih di bawah program RTT untuk Sukan Olimpik, Podium dan Pelapis Kebangsaan dipanggil balik bagi menjalani latihan harian di semua pusat latihan yang ditetapkan iaitu di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Kompleks Sukan MSN Keramat dan Pusat Pelayaran MSN Langkawi.

Dalam pada itu, 135 atlet Paralimpik dan 31 jurulatih daripada program RTT dan Podium turut melaporkan diri di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan esok.

Temasya Sukan Olimpik Tokyo yang sepatutnya berlangsung pada tahun ini terpaksa ditunda pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 berikutan penularan pandemik COVID-19.

-BERNAMA


Pengarang :