Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 16 April 2020 melambaikan tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas merawat jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Perintah pengawasan di rumah berkesan

SHAH ALAM, 7 JULAI: Pelaksanaan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) kepada pengembara sejak 10 Jun lalu berkesan selepas tiada penularan dalam kalangan ahli keluarga direkodkan.

Justeru, ketua pengarah kesihatan menyeru individu yang pulang dari luar negara supaya terus memberi kerjasama dan patuh syarat HSO agar usaha memutuskan rantaian pandemik itu berjaya.

“Ini merupakan tanda awal yang positif dalam pelaksanaan HSO namun ia tertakluk sepenuhnya kepada kepatuhan HSO supaya tidak berlaku risiko jangkitan dalam komuniti,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak lagi menempatkan pengembara di pusat kuarantin sebaliknya di rumah untuk tempoh 14 hari.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 647 kes Covid-19 import dikesan dari kalangan pengembara termasuk pemastautin tetap sejak 3 April hingga 12 tengah hari ini.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua bermula 3 hingga 14 April, sebanyak 31 kes direkodkan, PKP fasa tiga dari 15 hingga 28 April (317), PKP fasa dari 29 April hingga 3 Mei (8).

“PKPB dari 4 Mei hingga 9 Jun (205) manakala PKPP bermula 10 Jun hingga semalam sebanyak 86 kes,” katanya.


Pengarang :