Petugas Dewan Negeri Selangor dan media melakukan saringan Covid-19 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 7 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Seorang maut selepas 26 hari sifar kematian

SHAH ALAM, 11 JULAI: Seorang pesakit Covid-19 meninggal dunia hari ini selepas 26 hari tiada kematian dilaporkan akibat wabak tersebut.

Setakat ini, sebanyak 122 kes maut dicatatkan. Kali terakhir direkodkan pada 14 Jun lalu.

Ketua pengarah kesihatan berkata kematian membabitkan lelaki warganegara Malaysia berusia 72 tahun yang mengalami darah tinggi dan kencing manis sebelum meninggal dunia semalam.

“Beliau mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali sejak 3 Julai dan ke hospital swasta pada 9 Julai lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak dan disyaki Covid-19,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak empat lagi pesakit berjaya sembuh menjadikan jumlah yang pulih 8,515 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat lapan kes baharu dilaporkan dengan jumlah keseluruhan 8,704 kes dan 67 daripadanya aktif.

“Daripada kes tersebut, empat merupakan kes import dalam kalangan warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara manakala empat kes penularan dalam negara meliputi dua warganegara dan selebihnya warga asing,” katanya lagi.

Berikut perincian kes jangkitan:

•Sarawak: Satu kes jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak

•Sabah: Satu kes saringan yang dirujuk ke hospital

•Selangor: Dua kes saringan di Depot Tahanan Imigresen Sepang iaitu disaring semula sebelum proses penghantaran pulang ke negara asal


Pengarang :