AGENDAGLOBAL

Covid-19: Singapura catat 257 kes baharu, keseluruhan 47,912

SINGAPURA, 19 JULAI: Singapura merekodkan 257 lagi kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan lapan daripadanya melibatkan kes dalam komuniti.

Menurut data ringkas setakat tengah hari yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH), daripada jumlah kes dalam komuniti itu, dua adalah warga Singapura atau penduduk tetap, dan enam pemegang pas kerja.

Selain itu, menurut kementerian itu, terdapat lima kes import yang diletakkan di bawah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura.

Bagi kes hari ini, sebahagian besarnya adalah pekerja asing yang tinggal di asrama, menurut kenyataan itu.

Dengan perkembangan terbaru itu, jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu adalah 47,912 kes.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 638 sebagai kes import, 2,111 sebagai kes dalam komuniti dan 44,906 sebagai penghuni asrama.

Secara keseluruhan, 43,833 atau kira-kira 92 peratus kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan rawatan dalam komuniti.

Setakat 12 tengah hari semalam, terdapat 169 kes yang disahkan masih dirawat di hospital, dengan kebanyakannya berada dalam keadaan stabil atau bertambah baik dan tiada pesakit dirawat di unit rawatan rapi.

Sebanyak 3,626 pesakit yang bergejala atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif jangkitan Covid-19 diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Memandangkan tidak ada lagi kes yang dikaitkan dengan kluster Changi Lodge II di Tanah Merah Coast Road; dan Sungei Tengah Lodge di Old Choa Chu Kang Road, dalam tempoh dua inkubasi kebelakangan, kluster berkenaan kini ditutup.

Bagaimanapun, dua kluster baharu dikenal pasti semalam, dua buah asrama di 72 Tagore Lane dan 54 Tech Park Crescent.

-BERNAMA


Pengarang :