Ruang legar SACC Mall, Shah Alam pada 9 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Tiada kes baharu di Selangor, dua daerah kekal zon kuning

SHAH ALAM, 16 JULAI: Selangor kembali mencatatkan sifar kes positif Covid-19 hari ini berbanding satu kes direkodkan semalam.

Kali terakhir Selangor mencatat kes serendah itu ialah pada 2 Julai lalu.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan perkembangan itu menjadikan jumlah terkumpul kes positif di negeri ini kekal dengan 2,094 kes.

“Syabas warga Selangor kerana tiada kes baru hari ini. Merupakan kali keempat hari tanpa kes baru, sasaran warga Selangor seterusnya ialah catatan hari tanpa kes baru berturut-turut pula.

“Kita laksanakan SOP (tatacara operasi piawai) dengan penuh disiplin dan amalkan norma baru bagi mencapai misi ini!,” katanya di Facebook.

Susulan tiada kes baharu direkodkan, tiada perubahan ketara dalam jumlah kes aktif di dua daerah zon kuning iaitu Sepang (11) dan Gombak (satu).

Sementara itu, sebanyak 1,886 kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala angka kematian kekal 24 orang.


Pengarang :