AGENDAEKONOMINASIONAL

Dagangan tidak menentu di Bursa Malaysia minggu depan

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan dalam persekitaran mendatar minggu depan berikutan pasaran yang terus tidak menentu.

Seorang penganalisis ekuiti berkata fasa ini selepas pasaran saham tempatan mencatatkan dua rekod tertinggi dalam jumlah dagangan, melebihi 12 bilion unit dalam satu minggu apabila ia mencatatkan rekod pertama berikutan jualan besar-besaran pada Isnin, diikuti rekod kedua pada Khamis semasa trend meningkat.

“Ini menunjukkan pelabur runcit merupakan ‘fast player’ pada masa ini berikutan mereka menukar portfolio pasaran dalam masa yang singkat, memanfaatkan keuntungan dan mengurangkan kerugian semasa jualan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan permintaan yang tinggi daripada sektor sarung tangan yang memacu pasaran lebih tinggi, corak ‘inverted hammer’ dilihat sepanjang trend pasaran.

Bagi minggu akan datang, katanya pasaran dijangka diniagakan antara 1,580 iaitu paras sokongan segera dan 1,600 mata, paras halangan.

“Selepas melepasi paras 1,600 dengan pemangkin pasaran yang positif, indeks akan terus meningkat kepada 1,610 dan ke atas. Bagaimanapun, tanpa pemangkin baharu, indeks dijangka susut apabila ia melepasi paras 1,600 mata,” katanya.

Mengenai pasaran secara keseluruhan, sektor penjagaan kesihatan terus menjadi pilihan dalam kalangan pelabur untuk belian secara bergilir-gilir antara saham sarung tangan dan farmaseutikal, manakala kaunter tenaga terus menjadi penggerak jumlah dagangan utama.

Trend ini dijangka berterusan berikutan sektor penjagaan kesihatan belum mencapai paras tertinggi berikutan bimbang mengenai Covid-19 yang terus melanda pasaran.

Mengenai prestasi indeks, walaupun susut, indeks penjagaan kesihatan masih mencatatkan peningkatan berdasarkan minggu ke minggu berikutan ia naik 202.7 mata, dengan Top Glove dan Hartalega menjadi penggerak utama pasaran.

Bagi minggu depan, pelabur akan menunggu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada 28-29 Julai, berikutan kadar pengangguran yang meningkat di AS.

Walaupun Rizab Persekutuan AS dijangka mengekalkan kadar pada paras semasa, langkah itu akan dilihat sebagai sokongan dalam membina semula ekonomi negara itu.

Mengenai minyak, minyak mentah Brent dijangka terus berada pada US$42 hingga US$45 setong, berikutan risiko penurunan yang masih menyelubungi industri minyak.

Dengan kes Covid-19 yang terus meningkat dan kebimbangan mengenai satu lagi gelombang jangkitan, harga minyak tidak akan menyaksikan trend meningkat dalam masa terdekat.

Bagi minggu baru berakhir, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada dalam persekitaran mendatar walaupun jumlah dagangan yang tinggi dicatatkan sepanjang minggu.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, indeks merosot 6.72 mata untuk ditutup kepada 1,589.61 daripada 1,596.33 minggu lepas.

Indeks FBM Emas susut 0.27 mata kepada 11,272.18, Indeks FBMT 100 merosot 16.16 mata kepada 11,114.05, manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 98.77 mata kepada 13,098.05.

FBM 70 naik 101.54 mata kepada 14,154.28 dan Indeks FBM ACE meningkat 407.18 mata kepada 7,898.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 146.21 mata kepada 7,115.03, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 159.80 mata kepada 13,417.64 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.97 mata kepada 139.65.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 45.32 bilion unit bernilai RM28.93 bilion daripada 47.26 bilion unit bernilai RM24.58 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 53.22 bilion saham bernilai RM28.75 bilion daripada 21.69 bilion saham bernilai RM23.41 bilion minggu lepas.

Pasaran melebihi 12 bilion saham dalam jumlah dagangan sebanyak dua kali dalam seminggu, mencatatkan rekod tertinggi.

Jumlah dagangan waran, bagaimanapun merosot kepada 3.60 bilion unit bernilai RM736.71 juta daripada 4.96 bilion unit bernilai RM1.97 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyaksikan kenaikan yang ketara, mencapai 26.14 bilion unit bernilai RM5.81 bilion daripada 19.08 bilion unit bernilai RM3.35 bilion minggu lepas.

-BERNAMA


Pengarang :