Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 14 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Denggi: 819 kompaun dikeluar kepada pemilik kediaman, premis perniagaan

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sebanyak 819 kompaun dikeluarkan kepada pemilik kediaman dan premis perniagaan kerana menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merekodkan jumlah tertinggi dengan 385 kompaun, Majlis Perbandaran Klang (156) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (135).

“Kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Selangor menerusi pejabat kesihatan daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Operasi pemantauan dan pencegahan denggi terus dilakukan dari semasa ke semasa.

“Tindakan tegas diambil terhadap pihak yang enggan memberi kerjasama serta masih berdegil. Kes denggi tinggi berikutan pertambahan bilangan penduduk dan ia semakin membimbangkan apabila masyarakat mengabaikan aspek kebersihan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze yang bertanya bilangan kompaun dan kes denggi di Selangor sepanjang tahun ini.

Dr Siti Mariah berkata bilangan kes denggi pada Januari ialah 9,415, Februari (6,797), Mac (4,782), April (3,118), Mei 2,831) dan Jun (3,188).

“Statistik menunjukkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengurangkan kes denggi apabila bilangan mereka dijangkiti menurun pada Mac sehingga Jun,” katanya.


Pengarang :