Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika ditemubual di Dewan Annexe, Shah Alam pada 13 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Dewan Negeri Selangor beri ruang cukup ADN bahas isu rakyat

SHAH ALAM, 13 JULAI: Dewan Negeri Selangor (DNS) akan memberi masa secukupnya kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk membahaskan isu rakyat pada persidangan kali ini, kata speakernya.

“Kita tidak akan pendekkan masa untuk mereka (ADN) bercakap, Kerajaan Negeri sudah mengeluarkan belanja agak besar bagi persiapan sidang DNS sejak sebulan lalu.

“Jadi, ADN tidak perlu risau, mereka ada masa secukupnya berbahas dan membawa isu rakyat setempat,” kata Ng Suee Lim kepada SelangorKini.

Pada Mac lalu, sidang DNS hanya berlangsung selama dua hari bagi mengekang penularan wabak Covid-19 namun pada sidang kali ini, beliau berkata Kerajaan Negeri mengambil pendekatan dengan melakukan saringan kepada 678 petugas.

“Hanya individu yang disaring serta disahkan negatif dibenarkan menghadirinya dan mereka akan dikenal pasti menerusi mesin pengimbas wajah sebelum masuk ke dewan,” katanya.

Pada 7 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar, pegawai dan petugas media menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memastikan keselamatan serta kelancaran sidang DNS.

Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata Kerajaan Negeri sentiasa berwaspada dengan Covid-19 kerana angka serta fakta menunjukkan lebih separuh kes dijangkiti tidak bergejala tetapi kelompok ini sebenarnya pembawa atau penyebar virus tersebut.

 


Pengarang :