Gambar penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhimpun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto: Instagram Yana Najib
AGENDANASIONAL

Dr Noor Hisham sedih penyokong Najib langgar SOP

SHAH ALAM, 28 JULAI: Ketua pengarah kesihatan sedih susulan masih ada rakyat melanggar tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Membalas hantaran Bernama di Twitter mengenai gelagat penyokong Datuk Seri Najib Razak di mahkamah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan sering mengingatkan rakyat agar mematuhi SOP khususnya penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

“Sudah terang lagi bersuluh, setiap hari KKM mengingatkan rakyat Malaysia untuk patuh kepada SOP.

“Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri,” tulisnya hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh bimbang wujud penularan Covid-19 ekoran kehadiran penyokong bekas perdana menteri di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang tidak menghiraukan pematuhan SOP.

Gambar yang memaparkan orang ramai berhimpun tanpa mematuhi penjarakan sosial turut tersebar di media sosial dan media arus perdana.


Pengarang :