AGENSISELANGOR

Dua ditahan edar dadah pelbagai jenis lebih RM600,000

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Polis menahan dua individu pada Selasa lepas kerana disyaki mengedar pelbagai jenis dadah bernilai RM664,075 di sekitar ibu negara dan Selangor.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata dua individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita tempatan masing-masing berusia 33 dan 28 tahun ditahan di Jalan Suasa 3, berhampiran Balai Polis Sungai Besi kira-kira 1.15 tengah hari.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menjumpai tiga anak kunci dan sekeping kad akses.

“Hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek, pada 5.40 petang hari yang sama, polis membuat serbuan ke sebuah kondominium di Seri Kembangan, di sini dan menemui sebuah beg.

Beg tersebut mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 14.39 kilogram, dadah disyaki ganja seberat 7.79 kilogram dan sebanyak 2,300 biji disyaki pil ekstasi seberat satu kilogram,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mazlan berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM14,000 yang berada di dalam kondominium berkenaan.

Beliau berkata suspek lelaki yang mempunyai rekod senarai dikehendaki bersabit kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, didapati positif dadah manakala wanita terbabit negatif.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Selasa ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mazlan berkata suspek yang dipercayai bergiat aktif mengedar dadah sejak empat bulan lepas mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran dan usaha mengesan pembekal dan rakan sindiket suspek diteruskan polis.

-BERNAMA


Pengarang :