Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di KKM, Putrajaya pada 6 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Kedah, Sarawak

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan kes pesakit dalam pengawasan (PUI) Sivagangga di Kedah dan sebuah pasar di Satok, Sarawak.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes indeks kluster PUI tersebut merupakan seorang pemastautin tetap yang pulang dari India pada 13 Julai iaitu kes ke-8,937.

Katanya, saringan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif sebelum menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

“Namun, dia didapati tidak mematuhi syarat perintah tersebut dan dalam tindakan pihak berkuasa. Saringan ulangan didapati positif serta dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dijalankan dan 28 kontak rapat sudah disaring dengan lima daripadanya positif manakala 23 negatif,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Bagi kluster pasar di Satok Kuching, Sarawak pula, beliau memaklumkan 229 peniaga sudah disaring dengan empat daripadanya positif manakala baki negatif.

“Semua kes positif adalah tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan. Aktiviti pencegahan serta kawalan jangkitan di pasar tersebut sedang dilaksanakan termasuk proses pembersihan juga nyahkuman,” katanya.


Pengarang :