AGAMAAGENDAGLOBAL

Duta: Tangguh haji demi kepentingan bersama umat Islam

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan berkata keputusan kerajaan Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini demi kepentingan bersama antara umat Islam bagi mengekang virus Covid-19.

Qattan berkata beliau mengikuti reaksi rakyat (umat Islam) Malaysia di pelbagai platform berhubung keputusan penangguhan itu.

“Saya mendapati rakyat Malaysia memahami dan menerima keputusan kerajaan Malaysia mengenai perkara ini. Ibadat haji merupakan perkara yang besar dan penting di sisi rakyat (umat Islam) Malaysia dan mereka sangat realistik serta sedar kepentingan umat Islam di seluruh dunia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 11 Jun lalu, Malaysia mengumumkan untuk menangguhkan pemergian jemaah haji bagi Musim Haji 1441 Hijrah ke tahun hadapan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada 23 Jun lepas, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan untuk mengehadkan jemaah haji pada tahun ini hanya untuk penduduk yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak Covid-19.

Menurut kementerian tersebut, hanya sebilangan kecil penduduk daripada pelbagai kerakyatan yang tinggal di Arab Saudi akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Mengulas lanjut, Qattan berkata pendirian Malaysia menyambut baik pengumuman negaranya untuk meneruskan ibadah haji bagi tahun ini, mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

“Mari sama-sama kita berdoa supaya wabak ini berakhir secepat mungkin,” katanya.

Sehingga 6 Julai, Arab Saudi telah mencatatkan 213,716 kes baharu dan 4,207 kematian berdasarkan kenyataan kementerian kesihatan negara itu.

Terkesan dengan wabak Covid-19, Arab Saudi pada akhir Februari memutuskan menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan ziarah Masjid Nabawi, Madinah.

Pada pertengahan Mac, Arab Saudi memutuskan menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat pergerakan keluar masuk ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

-BERNAMA


Pengarang :