Selangorkini
Grafik Media Selangor
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Eksport kembali pulih, lebihan dagangan RM20.9 bilion pada Jun 2020

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Prestasi eksport Malaysia mula menunjukkan tanda pemulihan daripada kesan Covid-19 dengan mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM82.9 bilion pada Jun 2020.

Sementara itu, lebihan dagangan pula berjumlah RM20.9 bilion, terbesar sejak Oktober 2019.

“Ini merupakan lebihan dagangan terbesar dicatatkan sejak Oktober 2019 dengan nilai RM17.3 bilion,” kata Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Import bagaimanapun, merosot 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM61.98 bilion.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah dagangan Malaysia berjumlah RM144.8 bilion pada bulan berkenaan, berkembang sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun.

Beliau mengaitkan pertumbuhan itu kepada peningkatan eksport ke China (+RM4.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.1 bilion) dan Hong Kong (+RM1.4 bilion).

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM4.5 bilion), keluaran getah (+RM1.8 bilion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.5 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM993.6 juta) dan jentera, peralatan dan kelengkapan (+RM951.4 juta).

Sementara itu, import yang lebih rendah terutamanya dari Kesatuan Eropah (-RM1.1 bilion), Singapura (-RM772.8 juta), Thailand (-RM723.1 juta) dan Republik Korea (-RM706.6 juta).

Penurunan import dicatat bagi keluaran petroleum (-RM2.4 bilion), kelengkapan pengangkutan (-RM1.7 bilion) dan petroleum mentah (-RM1.1 bilion).

Mohd Uzir menambah import barangan perantaraan, turun 10.8 peratus atau RM4.1 bilion kepada RM34.1 bilion manakala import barangan penggunaan dan barangan modal masing-masing mencatat kenaikan 9.0 peratus kepada RM6.1 bilion dan 2.8 peratus kepada RM7.3 bilion.

-BERNAMA


Pengarang :