Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Episod gelap seorang pendosa di pinggir pandemik

Oleh Azrin Fauzi

 

[ 14 ]

LANTAS pintu depan yang tidak pernah kubuka, kukatup kembali. (“Engkaukah yang sedang masuk ke sini?”) Untuk entah kali ke berapa, kukuncinya semula. Kerana hari telah pun digulung gelita, daun pintu sepatutnya terus diam di situ; yang di luar tidak akan lagi masuk ke dalam dan yang di dalam, ingin keluar ke mana? Dan kerana apa? Ceritanya di dalam rumah ini. Kumatikan tivi yang tidak henti-henti menghebahkan berita tentang kematian. Di mana yang ditonton tidak lagi berasa apa-apa dan yang menonton kehabisan hiba. Pada waktu nyawa sudah menjadi angka-angka yang tidak kukenal lagi siapa. Seperti menatap wajah dalam foto-foto yang tergantung kekejangan di dinding: telah kuceroboh rumah yang salah?

Ada gesekan yang mendayu-dayu – “Devil’s Trill Sonata”? – yang sudah lama kuingat-ingat datang dari sini.

Mana mungkin tersilap. Banglo yang berdiri di lereng bukit inilah yang telah lama kuperhati dari bawah sana, sepanjang bergelandangan. Sememangnya kuimpikan untuk tenggelam dalam dakapan sebuah kediaman, walau hanya untuk sementara. Kerana khabarnya, dia akan pulang selepas dua minggu nanti. Ada pesawat dari Itali yang tidak terkecuali. Dan pada malam ini, sesudah menggeledah almari demi almari, aku menjadi tuan kepada rumah ini, walaupun tidak jumpa pakaian oleh tangan-tangan pereka ternama, cuba juga menyarung jubah dan serbannya, kalaupun sudah tentu tidak kena denganku – cuba-cuba menjadi dia. Dia yang tidak kukenal siapa. Mataku tertancap semula kepada wajah dalam foto. Adakah dia akan mengenaliku? Mata-mata kamera tivi litar tertutup (CCTV) mengerling kepadaku. Seolah-olah ingin memberitahu: engkau tunggu!

Kerusi malas berhayun. Ada angin merempuh jendela, jatuh terduduk di atasnya. Haruskah aku menyapa?

[ 7 ]

Nyaring siren menyiat lenaku. Ada tanda tanya yang tergantung di cuping telinga: Amaran yang tidak perlu kupedulikan? Tetapi untuk menyambut kantuk kembali di dalam tab mandi, menenggelamkan ingatanku kepada teman-teman di luar sana; jikalau mereka sudah ketemu dengan rumah-rumah tidak berpenghuni untuk dicerobohi. Kerana di kala semua diarah untuk duduk di rumah, untuk berkongsi hanya akan menetakkan satu kata sahaja di kepala: nahas. Ini ialah kecelakaan lain yang tiada sesiapa inginkan. Yang akan membangkitkan kematian demi kematian. Dan lebih celaka, kematian kami di luar data! Benarlah, kami ini hanyalah ketiadaan yang mengosong juga yang memenuhkan.

Busa sabun dari dalam tab mandi melimpah ke lantai, membasahkan naskhah-naskhah dengan nama yang sama pada tulangnya. Barangkali dia gemar menikmati apa-apa yang ditulis oleh pengarang ini. Atau dialah pengarangnya. Entahlah, aku tidak tahu. Kerana aku tidak kenal dia siapa. Kubelek-belek pula naskhah oleh Dante Alighieri; Inferno menggigil kekuyupan di dalam tab mandi; mencari-cari dosaku sendiri?

Dan “Devil’s Trill Sonata” kedengaran lagi. Sonata daripada gesekan biola oleh syaitan yang diingat-ingat Giuseppe Tartini dalam mimpinya. Adakah aku berada dalam mimpi pemuzik yang telah mati? Mustahil, kerana aku di dalam banglo yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, jauh dari kesakitan dunia yang kronik di luar sana. Seperti apa yang dikatakan nama yang sama pada tulang-tulang buku itu: “Dunia di mana penyiasat dan penjenayah ialah orang yang sama, justeru siapa yang terlebih dahulu membongkar siapa? Apabila pemburu juga menjadi mangsa, sudahnya memakan diri? Apabila yang celik dan yang buta juga orang yang sama, siapa yang memperbodoh siapa dengan cahaya? Ketika moralis juga menjadi pendosa, akhirnya menghukum diri sendiri?”

[ 4 ]

Malam tidak pernah selamat tanpa ucapan “Selamat malam.” Ada kegelisahan yang menggelora, sering membuatku terbayangkan ada mata yang sedang memerhatiku dari luar jendela. Serba-serbi tidak kena.

Roti berkulat. Susu membasi. Jendela ternganga dan sebiji gelas kosong bergolek ke pinggir meja. Dan yang lain-lain pun turut sama bergerak ke pinggir tarikh luputnya. Ada hapak dan hamis maut yang terhembus masuk menembus langsir. Sehingga ikan-ikan emas terapung di dalam hijau akuarium, mengembung dengan buih-buih yang menghanyir. Jam tidak lagi berdetak kerana waktu sedang senyap-senyap bergerak – membunuh dalam diam. Ada lagi dosa yang belum dilangsai? Ada bongkaran rahsia yang terbengkalai? Dan sebiji butang yang tertanggal, terlepas ke atas lantai. Kenapa yang kusentuh tidak sempat selesai? Hanya mata-mata kamera CCTV yang masih memandang. Hanya sonata itu yang kekal berkumandang.

Jika “Devil’s Trill Sonata” hampir buat Tartini hancurkan biola dan ucap selamat tinggal kepada dunia muzik yang dinafasinya kerana merasakan gubahan sonatanya ini tidak setara dengan apa yang dimainkan oleh syaitan dalam mimpinya itu, sonata yang bersipongang di dalam rumah ini pula hampir memaksaku untuk menghancurkan “Devil’s Trill Sonata” itu sendiri. Sehinggalah pemburuan bunyi ini membawaku ke besmen yang menyimpan sebuah kotak berisi kamkorder dan sebilangan pita sistem video rumah (VHS) berserta pemainnya. Pada empat belas pita VHS itu telah dilabel dengan nama-nama. Mungkin esok sahaja kerana malam telah lewat untuk kubersihkan debu-debu, menontonnya.

[ . ]

Apa yang kutonton semalam: episod gelap yang menyesakseksakan. Seksaan demi seksaan dengan sonata Tartini sebagai runut bunyi, diulang-ulang demi memuaskan mimpi; sesiapa pun akan takut tatkala menatap wajahku sewaktu pita VHS itu dimainkan. Langsung kumatikan video berlabel nama yang serupa dengan namaku sendiri. Tidak sanggup kuteruskan; sekiranya benar-benar berlaku mahupun helah visual oleh kesan praktikal persis filem-filem giallo Itali. Kerana antara nikmat dengan kesakitan, bukanlah pilihan yang perlu kulihat kini. Kurenung lensa kamera CCTV yang tergantung menunduk seakan-akan menjelaskan: aku dan tuan rumah tidak akan bertemu dan kami tidak akan saling mengenali. Kerana dia tidak akan dapat melihatku dan aku juga begitu. Sama ada penghuninya penumpang pesawat dari Itali atau rumah ini yang salah dicerobohi, ada nafas yang mengerikan. Angka-angka kematian meninggi di kaca tivi. Ingin kutinggalkan rumah ini meskipun dia tidak akan pulang lagi. (“Engkau boleh mengikutku kalau kaumahu. Tapi jangan dekatiku.”) Sekalipun aku tidak akan ditangkap kamera CCTV, aku tetap ingin keluar melalui pintu belakang, melalui lubang kunci – hilang ke dalam titik.

 


Pengarang :