Rodziah Ismail. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO galak individu hilang kerja berniaga dalam talian

SHAH ALAM, 23 JULAI: EXCO pembangunan usahawan menggalakkan individu yang hilang pekerjaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berniaga secara dalam talian.

Rodziah Ismail berkata kaedah itu penting untuk menambah pendapatan terutama ketika penularan Covid-19 tetapi mereka dinasihatkan mempunyai ilmu atau asas perniagaan.

“Kerajaan Negeri prihatin masalah rakyat yang memerlukan pendapatan segera selepas hilang pekerjaan susulan pandemik, namun mereka digalakkan untuk memulakan langkah awal berniaga secara digital.

“Bagaimanapun, saya tidak menggalakkan mereka meniaga di kaki lima, jika perlu harus memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan risiko tidak diingini berlaku,” katanya kepada SelangorKini.

Laporan Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan individu hilang pekerjaan meningkat 42 peratus bagi suku pertama tahun ini.

Kadar pengangguran dijangka mencecah empat peratus pada 2020 berbanding 3.2 peratus semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan 3.7 peratus ketika kegawatan ekonomi pada 2018.


Pengarang :