EXCOSELANGOR

EXCO saran suami dera isteri dihukum jalani terapi pemulihan

SHAH ALAM, 28 JULAI: EXCO wanita menyaran suami yang mendera isteri dihukum menjalani terapi pemulihan bagi mengelak keganasan rumah tangga berulang.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata setakat ini tiada akta khas yang menjadikan hukuman secara mandatori itu diwajibkan ke atas pendera.

“Kebanyakan kes yang mendapatkan khidmat kaunseling adalah mangsa (isteri) kerana mengalami tekanan dan kemurungan, sebaliknya si suami tidak melakukan apa-apa untuk memulihkan dirinya daripada kecenderungan untuk memukul.

“Sekiranya kita tidak ambil langkah untuk memulihkan keadaaan maka isteri akan jadi mangsa keganasan dalam masa jangka panjang.

“Selain membuat laporan polis, saya harap ada akta yang memaksa suami untuk dapat pemulihan kerana banyak kes selepas berlaku dia (suami) akan pujuk dan merayu pada isteri, tetapi akan berulang (penderaan),” katanya kepada SelangorKini.

Pada 13 Julai lalu, beliau berkata talian khas bantuan keganasan dengan kerjasama Pertubuhan Pertolongan Wanita menerima 361 panggilan pada Mac dan April (898), meningkat berbanding Januari (266) dan Februari (250).

Selangor merekodkan 90 kes keganasan rumah tangga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac.


Pengarang :