Permatang Kuarza Gombak Selangor. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Tetap bantah ECRL lalui Permatang Kuarza Gombak

SHAH ALAM, 16 JULAI: Selangor kekal dengan pendirian supaya jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak melalui khazanah alam negeri, Permatang Kuarza Gombak dekat sini.

EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata jika pelan asal jajaran kereta api laju itu diteruskan, ia turut memusnahkan Taman Rimba Templer, Hutan Simpan Templer, Empangan Batu dan kawasan tadahan air.

Ng Sze Han menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 16 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kerajaan Negeri tidak menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mengubah semula jajaran ECRL seperti dicadangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Pendirian kami jajaran dari Mentakab (Pahang), Nilai (Negeri Sembilan) dan Pelabuhan Barat, Klang (Selangor) dikekalkan, sama seperti dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN),” katanya, menjawab soalan lisan wakil rakyat Banting Lau Weng San pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada 6 Julai lalu, SelangorKini melaporkan usaha negeri untuk meraih status Tapak Warisan Dunia Unesco bagi Permatang Kuarza Gombak terjejas sekiranya jajaran ECRL dikekalkan kepada pelan asal.

Sze Han berkata hasrat meraih pengiktirafan dunia kian positif selepas Kerajaan PAKATAN mengubah laluan ke Klawang, Jelebu dan Nilai pada 2018.


Pengarang :