Penumpang penerbangan dari Singapura yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu melalui kamera pengimbas suhu susulan penularan Covid-19 pada 7 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Fi saringan Covid-19 pada kadar RM30 hingga RM250

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kos saringan Covid-19 bagi warganegara dan orang asing di semua pintu masuk antarabangsa ditetapkan pada kadar RM30 hingga RM250.

Ujian merangkumi tindak balas berantai polimerase pada kadar RM150 (warganegara) dan RM250 (warga asing), kit ujian pantas RM60 untuk warganegara dan RM120 (warga asing) manakala RM30 (warganegara) dan RM60 (warga asing) bagi kit ujian pantas antibodi.

“Saringan boleh dibuat di mana-mana hospital kerajaan atau klinik Kementerian Kesihatan,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ujian pengesanan di pintu masuk negara menggunakan teknik tindak balas berantai polimerase atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

Manakala kit ujian pantas antibodi pula katanya, digunakan ke atas individu yang dikuarantin di rumah pada hari ke-13 sebelum dilepaskan pada hari berikutnya.

“Tindakan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (fi bagi ujian pengesanan penyakit koronavirus 2019) (Covid-19) 2020 berkuat kuasa 29 Jun 2020,” kata Dr Adham.

Warganegara yang dikecualikan daripada fi tersebut ialah:

(i) pegawai kerajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara atas tugasan rasmi dengan mengemukakan surat arahan. Pengecualian tidak terpakai kepada ahli keluarga

(ii) orang kurang upaya (OKU) yang memasuki Malaysia dari luar negara dan mengemukakan kad OKU dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pengecualian tidak terpakai kepada ahli keluarga

(iii) pelajar warganegara, persendirian atau mempunyai penajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara kali pertama dan perlu mengemukakan bukti pengajian


Pengarang :