Anggota Polis Pelancong dari Balai Polis Masjid India, Sarjan Mejar Abd Manab Baki (tengah) memberi nasihat dan penerangan kepada orang awam supaya tidak bersiar-siar tanpa tujuan penting ketika membuat rondaan di sekitar jalan Masjid India pada 20 Mac 2020. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Fikirlah: Pengajaran daripada Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Antara topik hangat yang masih menjadi perbincangan orang ramai pada masa kini tidak lain dan tidak bukan isu wabak Covid-19.

Umum sedia maklum wabak Covid-19 mula dikesan pada akhir 2019 dan merebak di kebanyakan negara seluruh dunia, hingga kewujudannya digeruni kerana mengancam nyawa mereka yang dijangkiti.

Menyentuh mengenai kesan pandemik ini terhadap kestabilan ekonomi dunia, tidak dinafikan ia memberi kesan buruk, dan negara besar seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga tidak kebal terhadap kesannya dan hampir lumpuh, itulah antara natijah virus itu secara tepatnya.

Berhubung kes kematian melibatkan Malaysia, sehingga artikel ini ditulis terdapat 121 kematian dilaporkan (tetapi tidak terdapat sebarang kematian dilaporkan sejak 15 Jun), dengan lebih 8,500 kes positif Covid-19 dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Guru Taska Sinarku Gemilang Cawangan Sekolah Tunas Bakti, Melaka Aida Atikah Mohd Rizal, 23, membantu Nur Syazwana Husna Zawawi, 3, melakukan aktiviti pembelajaran di dalam kelas ketika tinjauan pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA

Bagi mengelakkan penyebaran virus ini daripada menjadi bertambah buruk, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 18-31 Mac.

Antara peraturan yang dilaksanakan semasa PKP ialah halangan pergerakan dan perhimpunan secara besar-besaran, halangan kepada semua rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara dan halangan kemasukan semua pelancong dan pelawat luar negara ke negara ini.

Peraturan lain yang dikuatkuasakan ialah penutupan semua sekolah dan sekolah rendah, menengah dan institusi pra-universiti peringkat negeri, kerajaan dan swasta, penutupan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta dan institusi latihan kemahiran di seluruh negara, dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta melainkan yang terlibat dalam perkhidmatan penting.

Selepas itu, PKP dilihat memberi sedikit sinar harapan kepada orang ramai dengan pengurangan kes harian secara perlahan-lahan, dan kerajaan kemudian melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum meneruskan dengan Perintahan Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijangka ditamatkan pada 31 Ogos.

Walaupun Malaysia kelihatan dapat mengawal penularan virus itu setelah kes dikendalikan dengan teliti oleh pihak berkuasa, namun tidak dinafikan juga terdapat sesetengah anggota masyarakat yang bersikap tidak bertanggungjawab hingga berani memperlekehkan penjawat awam yang hanya mahu menjalankan tugas mereka.

Walaupun PKP dan PKPP dikendalikan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibantu oleh Pasukan Tentera Malaysia (ATM) dengan mengadakan sekatan jalan bagi mengawal orang ramai daripada menyeberangi sempadan negeri, masih terdapat ramai yang tidak mengendahkan arahan.

Contohnya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan terdapat 267,373 kenderaan bergerak menyeberangi negeri dicatatkan oleh PDRM dalam sehari (pada 2 Jun) dan ini bukanlah satu statistik yang boleh dibanggakan!.

Terdapat satu video yang viral mengenai sekumpulan orang dewasa yang degil telah berhimpun di sebuah kawasan terbuka menikmati ‘kenduri’ hidangan kepala kambing semasa PKP.

Juga terdapat laporan mengenai seorang wanita yang menjerit dan mencemuh anggota polis yang mengendalikan sekatan jalan raya di Persiaran Surian, Petaling Jaya pada 31 Mac, dan beliau kemudian ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut.

Satu lagi kes melibatkan seorang doktor perubatan di sebuah klinik swasta yang mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Majistret P.Pinang di atas dua pertuduhan menghalang kerja penjawat awam dan melanggar perintah PKP dengan berjoging di luar rumah.

Kepada penulis, semua tindakan ini perlu dipertimbangkan sebagai perbuatan tanpa berfikir panjang kerana ia seolah-olah cuba melemahkan usaha kerajaan terutama KKM, PDRM dan ATM yang berusaha sebaik mungkin untuk menghalang penularan virus yang berbahaya itu.

Kelihatan pengunjung beriadah di Kolam Terbesar Taman Tema Sunway Lagoon ketika tinjauan di taman tema itu, pada 4 Julai 2020. Pengunjung dinasihatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika beriadah di taman tema itu yang beroperasi semula selepas ditutup sejak 18 Mac lepas ekoran penularan Covid-19. Foto: BERNAMA

Bayangkan sekiranya setiap orang berfikiran dan bertindak secara sedemikian, mengabaikan perintah duduk di rumah dan mengadakan perhimpunan berama-ramai, bukankah ia menyukarkan para pekerja kesihatan untuk ‘mengejar’ mereka sekiranya seorang daripadanya didiagnos positif Covid-19?

Bagaimanapun, terdapat banyak hikmah yang dapat dipelajari ketika Covid-19 menyerang negara kita, yang antaranya orang ramai mula menyesuaikan diri kepada budaya norma baharu.

Jika sebelum ini, kita mungkin jarang menekankan amalan mencuci tangan secara kerap, jarak sosial, memakai pelitup separuh muka dan mengguna cecair pembasmi kuman.

Tetapi sekarang, semua ini tidak lagi dianggap sesuatu yang diabaikan atau janggal kerana kita semua menganggap ia amalan yang paling penting terutama setiap kali kita ingin melangkah kaki ke luar rumah.

Contohnya, jika kita mahu ke pasar raya, sudah tentu perlu menulis nama penuh dan suhu badan kita sebelum memasuki kawasan pasar raya dan ini adalah satu normal baharu yang perlu kita terima dan patuhi pada masa sekarang.

Agak pelik juga apabila kita melihat ramai sekeliling kita tidak mengambil berat untuk mematuhi semua tatacara operassi piawai (SOP) yang dikeluarkan oleh KKM.

Contohnya, terdapat mereka yang secara main-main menulis nama samaran superhero seperti ‘Hulk’ dan ‘Spiderman’ sebelum memasuki pasar raya, bukankah masih menjadi peranan kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab untuk membetulkan dan menasihati mereka yang berkenaan untuk mengamalkan perkara yang betul.

Di sisi hikmahnya, Covid-19 telah mengajar kita agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri sendiri dan keluarga, sentiasa mematuhi semua langkah keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan ia membuktikan bahawa kesihatan itu amat berharga dan satu pelaburan yang tidak ternilai.

Penulis ingin mengingatkan semua bahawa usaha untuk memerangi penularan Covid-19 masih jauh perjalanannya, meskipun kita diberi bayangan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa Malaysia dijangka mencatatkan kes sifar dalam sehari pada pertengahan Julai.

Beliau juga berkata, Malaysia memerlukan 28 hari catatan kes sifar Covid-19 sebelum negara ini boleh diisytihar bebas virus itu, dan seharusnya telah tiba masanya kita mengamalkan slogan #kitajagakita.

Buat masa sekarang, kita boleh menarik sedikit nafas lega selepas Malaysia melaporkan sifar kes Covid-19 dalam jangkitan tempatan buat pertama kali pada 1 Julai dan catatan kedua sifar kes pada 8 Julai.

Difahamkan semasa PKPP, hampir semua sektor ekonomi telah dibuka semula dan anak-anak telah memulakan persekolahan seperti biasa, tetapi ini tidak bermakna kita boleh menamatkan juga amalan SOP yang kita patuhi sebelum ini.

Anggota Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat duri bagi mengawal laluan keluar masuk di sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur pada 4 Mei 2020. FOTO: BERNAMA

Kita patut mencontohi pengajaran daripada satu kejadian di Jepun apabila negara itu mencatatkan sifar kes baharu Covid-19 untuk selama sebulan, malangnya selepas itu ia berdepan gelombang kedua jangkitan virus itu setelah dua bandar besarnya mencatatkan lebih 100 kes baharu Julai ini.

Begitu juga yang dilaporkan berlaku di China yang mengalami kejutan berikutan berulangnya kes jangkitan domestik pada pertengahan Jun selepas kerajaan republik itu dapat menamatkan jangkitan Covid-19 dengan mengenakan sekatan ketat terhadap pergerakan rakyatnya.

Dalam pada itu, tidak ketinggalan sekalung penghargaan kepada anggota barisan hadapan terutama dalam penjagaan kesihatan yang bertungkus lumus melakukan yang terbaik bagi menyekat penularan Covid-19 dan merawat pesakit meskipun mereka terpaksa mengorbankan masa untuk ahli keluarga sendiri dalam tempoh masa yang lama demi untuk negara.

Usahlah kita cepat selesa dengan kejayaan yang dicapai, yang mungkin untuk tempoh sementara, kerana vaksin untuk Covid-19 masih dalam fasa penghasilannya dan sehingga ia dapat dihasilkan, kita semua perlu lebih berhati-hati dan mengamalkan kehidupan norma baharu selepas Covid-19.

Kita perlulah sentiasa mematuhi semua tatacara SOP termasuk menjaga jarak sosial, sentiasa membasuh tangan, menjaga kebersihan dan memakai pelitup separuh muka dan tidak ketinggalan menjaga masyarakat kita.

Marilah kita sama-sama berdoa agar akhirnya kita dapat menghapuskan virus yang dahsyat ini dan menjulang bendera kemenangan memerangi Covid-19!

(Artikel ini adalah semata-mata pandangan peribadi penulis)

– BERNAMA


Pengarang :