Exco Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim bercakap ketika sidang media di Dewan Annexe, Shah Alam pada 14 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ganti paip usang pastikan rakyat nikmati bekalan air terbaik

SHAH ALAM, 18 JULAI: Proses penggantian paip usang bagi mengelak gangguan air selaras pelan strategik pengurusan air untuk tempoh 30 tahun bermula tahun ini, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) selaku pengendali tunggal komited meningkatkan sistem perkhidmatan air seiring sasaran Negeri Pintar 2025.

“Paip ini ada antaranya lebih 40 tahun tidak berganti, jadi sasaran kita setiap tahun sekurang-kurangnya 150km paip usang diganti dan usaha ini membuahkan hasil apabila aduan paip pecah menurun mendadak sejak kebelakangan ini.

“Pelan strategik ini antara lain menaik taraf loji air, mengurangkan kadar air tanpa hasil dan memastikan bekalan mencukupi untuk tempoh jangka panjang selain memastikan rakyat menikmati perkhidmatan terbaik,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan Izham berkata Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau bakal dibina tahun depan bagi mengatasi isu gangguan air yang kerap berlaku di Klang.

“Selepas LRA Sungai Rasau dibina, penduduk di Klang tidak perlu lagi bergantung bekalan dari LRA Semenyih atau Labohan Dagang. Sebelum ini Klang sering terjejas teruk sebab bekalan air daerah ini bergantung kepada dua LRA ini,” katanya.

Ketika Sidang Dewan Negeri Selangor kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggantian paip usang bagi mengelak gangguan bekalan air keutamaan Kerajaan Negeri.

Air Selangor memperuntukkan RM30 bilion di bawah perbelanjaan modal (Capex) bagi melaksanakan tujuh pelan strategik dan inisiatif untuk tempoh 30 tahun bermula 2020 sehingga 2050.


Pengarang :