Atlet wushu Selangor menjalani latihan bagi persiapan Sukma di Pusat Latihan Wushu Selangor, Rawang pada 5 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Giat berlatih, atlet wushu Selangor siap berdepan Sukma 2020

SHAH ALAM, 6 JULAI: Enam atlet wushu Selangor yang menggalas cabaran pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor pada Mac tahun depan kembali ke gelanggang latihan sejak dua minggu lalu.

Jurulatih Chia Kian Keow berkata semua atlet bagi disiplin sanda menjalani latihan dua sesi bermula 11 pagi hingga 3 petang setiap Ahad di Pusat Latihan Wushu KK Chia, Selayang dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Mereka juga diarah melakukan latihan stamina di rumah mengikut kesesuaian masa masing-masing dan perlu hantar laporan rakaman video (latihan) dalam kumpulan WhatsApp.

“Saya akan beri komen penilaian bagi setiap teknik yang digunakan supaya mereka dapat memperbaiki kelemahan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Kian Keow berkata prestasi atlet dipantau setiap dua minggu bagi memastikan stamina mereka pada tahap terbaik sebelum menghadapi temasya dwitahunan yang berbaki kurang setahun.

Katanya, jika latihan tidak memuaskan, kesemua atlet diarah berlatih dua kali seminggu di gelanggang, malah mungkin ditambah tiga atau empat hari bergantung kepada prestasi.

“Saya berharap ibu bapa mereka faham dengan keadaan sekarang kerana kita sudah hampir ke Sukma. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan juga mereka berlatih lima hari seminggu,” katanya.


Pengarang :