Sebahagian warga asing duduk dalam keadaan beratur ketika hadir untuk membuat saringan Covid-19 di Pangsapuri Langat Utama pada 1 JUN 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hamzah: Tindakan terhadap pendatang tanpa izin semasa PKP ikut undang-undang

PELABUHAN KLANG, 6 JULAI: Tindakan terhadap pendatang tanpa izin ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan berlandaskan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kepentingan rakyat negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menegaskan tindakan itu bukan suatu diskriminasi seperti didakwa agensi berita asing, beliau berkata kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

“Agensi berita asing itu mengatakan kita begitu garang dan tegas (terhadap pendatang tanpa izin), saya rasa itulah kehendak rakyat. Rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

“Jadi, kita jangan ambil peduli media asing yang suka memutarbelitkan cerita. Kita (kerajaan) tangkap pesalah mengikut tatacara operasi piawai serta berlandaskan undang-undang negara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penerimaan Kapal Ronda Generasi Baru (NGPC) dan meninjau pembinaan Kapal Ronda Luar Pesisir (OPV) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dokumentari Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” berdurasi 20.25 minit yang mendakwa berlaku diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia mengendalikan langkah menangani pandemik Covid-19.

Pada masa sama, Hamzah berkata kerajaan tidak melarang warga asing untuk bekerja di negara ini namun kemasukan mereka haruslah mengikut undang-undang dan mempunyai dokumen serta permit pekerjaan yang sah.

“Untuk merealisasikan pembangunan di negara ini, kita memerlukan pekerja untuk melakukan kerja-kerja berat dan biasanya pekerja asinglah yang sanggup mengisi pekerjaan ini.

“Disebabkan itu kerajaan perlu lebih mengutamakan kepada penguatkuasaan undang-undang kerana rakyat nak lihat semua penduduk di negara ini patuh dengan apa yang ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :