AGENDAEKONOMINASIONAL

Harga minyak sawit mentah diniagakan dalam julat kecil

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) dijangka diniagakan dalam julat kecil minggu depan berikutan aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata, bagaimanapun, niaga hadapan MSM dijangka akan meningkat minggu depan.

“Bulan paling aktif (Julai) dijangka menguji RM2,800 satu tan sebelum susut semula. Kenaikan niaga hadapan dan pasaran tunai telah menjadikan sawit kurang kompetitif berbanding saingan terdekatnya, minyak kacang soya,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak sawit perlu susut untuk mendapatkan semula diskaun US$70 kepada minyak kacang soya atau harganya perlu meningkat pada kadar yang lebih cepat berbanding sawit, katanya.

Sathia berkata pergerakan harga MSM dijangka terus dipengaruhi oleh trend am dalam komoditi utama terutamanya minyak mentah dan minyak kacang soya.

Bagi minggu baru berakhir, kontrak niaga hadapan MSM diniagakan kukuh untuk hari ketiga berturut-turut, menjejaki kenaikan minyak saingan.

Pada penutup pada Jumaat, Ogos 2020 naik RM285 kepada RM2,890 satu tan — tertinggi sejak 5 Februari.

Sementara itu, BMD meneruskan pertumbuhannya dalam aktiviti dagangan selama dua hari apabila jumlah dagangan harian untuk kontrak niaga hadapan MSM (FCPO) mencapai rekod baharu melebihi 70,000 lot, berbanding jumlah dagangan purata untuk FCPO sebanyak 50,000 lot.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM untuk Ogos 2020 naik RM285 kepada RM2,890 satu tan, September 2020 melonjak RM300 kepada RM2,854 satu tan, Oktober 2020 menambah RM258 kepada RM2,778 satu tan, dan November 2020 meningkat RM213 kepada RM2,713 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 311,950 lot daripada 278,651 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 259,670 kontrak daripada 246,199 kontrak.

Di pasaran fizikal, Ogos Selatan naik RM180 kepada RM2,880 satu tan.

-BERNAMA


Pengarang :