BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Hayati kemerdekaan, tekuni Rukun Negara

Negara bakal menyambut ulang tahun ke-63 tahun kemerdekaan tidak lama lagi. Hari Kemerdekaan disambut di seluruh negara pada 31 Ogos setiap tahun sebagai simbolik bagi menandakan negara kini telah bebas sepenuhnya daripada belenggu penjajahan kuasa asing.

Jika dahulu negara berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah, tahun 2020 merakam sejarah tersendiri apabila rakyat Malaysia kini bersama-sama mengekang musuh yang tidak dapat dilihat mata kasar iaitu Covid-19. Petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis dan Angkatan Tentera Malaysia dipertanggungjawabkan dalam memastikan virus ini tidak merebak sekali gus meragut banyak lagi nyawa rakyat. Malah, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) turut sama-sama memainkan peranan penting ketika negara diisytihar melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu sebaran maklumat berkaitan Covid-19 melalui “Info On Wheels”.

Kerajaan Selangor tidak terkecuali memastikan rakyat di negeri ini tidak dijangkiti wabak berkenaan. Antara langkah terawal adalah menubuhkan segera Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) bagi merancang serta menyelaras tindakan dan usaha membendung penularan virus di Selangor. Di sini saya ingin mengambil kesempatan merakam ucapan kepada semua yang terlibat dalam mengekang Covid-19.

Erti kemerdekaan

Ternyata, semata-mata bebas daripada belenggu asing, sama ada dalam bentuk imperialisme lama mahupun pengaruh pasaran gaya baharu ala-Amerika atau Tanah Besar China tidak mencukupi; yang lebih utama adalah mengisi dan memaknai kemerdekaan dengan pelaksanaan, lebih-lebih lagi dalam mendepani pandemik yang belum pernah kita hadapi dalam lipatan sejarah kebelakangan ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan Konvoi Info On Wheels Merdeka pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Auditorium Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam pada 28 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hanya melalui pelaksanaan, sesuatu dasar atau keputusan yang dicapai dapat diukur keberkesanannya. Terdapat suatu ungkapan popular oleh pakar pengurusan, Peter Drucker iaitu “if you cannot measure it, you cannot improve it” (hanya yang dapat diukur boleh diperbaiki). Hanya dengan metrik, barulah dapat kita ubah suai sebarang tindakan bagi memperbaiki keputusan sedia ada.

Izinkan saya memetik pakej rangsangan ekonomi yang kita umumkan terlebih dahulu. Kerajaan Negeri melalui Selangor Prihatin 1.0 serta 2.0 menggariskan beberapa inisiatif segera bagi mengurangkan beban ekonomi akibat penularan Covid-19 serta menampan beban mereka yang terkesan dalam jangka pendek. Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri membelanjakan RM260,144,464.54 yang memberi manfaat kepada 3.5 juta rakyat negeri Selangor ataupun 54 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk.

Pakej pemulihan ekonomi Selangor terbaharu pula lebih bersifat jangka sederhana serta panjang dalam menghidupkan semula ekonomi selaras kedudukan Selangor sebagai ‘economic reactor’ Malaysia, dengan nilai ekonomi keseluruhan RM55.85 bilion. Hanya dengan kebingkasan dan kecekalan, dapat kita pertahankan kemerdekaan negara dengan bermartabat.

Rukun Negara

Pada sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, negara turut meraikan 50 tahun Rukun Negara. Diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, susulan peristiwa 13 Mei 1969, kewujudan Rukun Negara bagi mencapai perpaduan lebih erat antara rakyat.

Lazimnya apabila kita membicarakan atau membincangkan Rukun Negara, kita sering melupakan mukadimah ideologi kebangsaan tersebut. Justeru, saya mengambil kesempatan untuk mengingatkan kita semua mukadimah tersebut:

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:

Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya,

Memelihara cara hidup demokratik;

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;

Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak dan;

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

Mohd Syafrin Syawal, 9, teruja menunjukkan kepada ibu dan kakaknya hasil lukisan peserta yang dipamerkan sempena Pertandingan Lakaran Rukun Negara anjuran PLUS Malaysia Berhad di Galeri Jejantas Sungai Buloh. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Menekuni mukadimah tersebut, kita menginsafi bahawa para pendiri negara ini mahukan suatu negara yang maju, majmuk yang meraikan kepelbagaian kebudayaan dan suatu negara yang makmur serta tidak mengabaikan kebajikan rakyatnya.

Kemudiannya barulah disenaraikan prinsip-prinsip Rukun Negara yang kita semua maklum iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Prinsip itulah yang memberi makna amat mendalam kepada rakyat Malaysia dalam membentuk jati diri, menjadi asas identiti diri dan penyatuan setiap individu bergelar bangsa Malaysia tidak kira kaum, agama dan warna kulit.

Tidak kiralah sama ada anda seorang Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, Orang Asal atau mana-mana kaum dan suku kaum sekalipun, sekiranya anda bergelar warganegara Malaysia, inilah ciri-ciri yang wajib anda miliki. Dan saya percaya dan yakin Selangor adalah negeri yang mempunyai pelbagai etnik dan kita hidup aman dan sejahtera.

Kibar Jalur Gemilang

Saya turut ingin merakam harapan agar rakyat Selangor bersama-sama menunjukkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang di semua kediaman, premis-premis perniagaan, bangunan pejabat, rumah ibadat, sekolah-sekolah dan lain-lain bagi menunjukkan rasa cinta kita terhadap negara.

Besarlah hasrat Kerajaan Negeri agar semangat cintakan negara dapat dipupuk dan jalinan perpaduan dapat dieratkan bagi menjadikan Malaysia khususnya Selangor, sebuah negeri yang bukan sahaja maju tetapi juga mempunyai rakyat yang berjati diri dan bersatu-padu.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada kepada Jabatan Penerangan negeri dan pentadbiran Kerajaan Negeri kerana berjaya melaksanakan sambutan Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini. Semoga kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat terus terjalin erat dan diperkukuhkan.


Pengarang :