Butik tudung milik Nor Amira Wan Yusuf yang terletak di Shah Alam.
SELANGOR

Hikmah PKP, jualan tudung laris dalam talian

SHAH ALAM, 22 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih tiga bulan memberi kesan negatif kepada sektor ekonomi apabila perniagaan terpaksa ditutup dan mengalami kerugian.

Namun berbeza bagi pengusaha butik di Shah Alam, Nor Amira Wan Yusuf, 31, yang mendakwa PKP membuka pintu rezeki apabila tempahan tudung menerusi dalam talian mendapat permintaan tinggi.

“Alhamdulillah, walaupun butik tidak dibenarkan operasi tetapi ramai pelanggan membelinya secara dalam talian. Oleh itu, saya berpendapat PKP bukan alasan untuk kita tidak meneruskan perniagaan,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas cabaran berniaga ketika PKP, Nor Amira berkata beliau sukar mendapatkan bekalan tudung kerana rata-rata pembekal tidak mempunyai stok dan ada yang menutup kedai.

Nor Amira menyokong penggunaan teknologi jualan dalam talian.

“Tetapi ia tidak menjadi masalah kerana saya dapat menghabiskan stok sedia ada,” katanya yang lebih lima tahun berkecimpung dalam bidang itu.

Ditanya mengenai berniaga dalam norma baharu, beliau berkata meskipun agak kekok dengan tatacara operasi piawai (SOP) tetapi ia pilihan terbaik demi meneruskan perniagaan.

“Butik saya kembali beroperasi seperti biasa tetapi pelanggan agak kurang datang mungkin disebabkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga susulan Covid-19.

“Bagaimanapun, tiada masalah untuk seseorang peniaga seperti saya menyesuaikan norma baharu dengan SOP ketat kerana ia perlu dilihat dari sudut positif terutama berkaitan kesihatan semua orang.

“Jika perniagaan diteruskan tetapi kesihatan diabaikan ia pasti memberi impak negatif,” katanya yang menyokong penggunaan teknologi jualan dalam talian.


Pengarang :