Aktiviti ibadah korban di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang. Foto: Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bandar Botanic
SELANGOR

Ibadah korban lancar dalam suasana norma baharu

SHAH ALAM, 31 JULAI: Aktiviti ibadah korban sempena Aidiladha dalam suasana norma baharu tetap berjalan lancar meskipun mengambil sedikit masa untuk selesai.

Imam Surau Sijangkang Jaya, Salimun Tuginan berkata sebelum ini proses penyembelihan serta melapah haiwan korban dibuat dalam tempoh singkat berikutan pembabitan ramai individu.

“Kali ini kita ada tatacara operasi piawai (SOP) dan terhad 20 orang untuk seekor haiwan. Jadi tenaga kerja kurang namun tetap lancar.

“Proses ibadah ini sama sahaja cuma tahun ini ada kelainan kena jaga jarak. Ini penting untuk elak penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pagi tadi, Salimun menyempurnakan proses menyembelih empat ekor lembu sumbangan Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bandar Botanic di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.

Isnin lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan SOP sambutan Aidiladha mengehadkan jumlah haiwan tidak lebih 10 ekor di tempat penyembelihan dan kehadiran sewaktu ibadah korban mengikut nisbah 20 orang untuk setiap haiwan.


Pengarang :