AGENDANASIONAL

Ibu bapa diseru terus didik anak amal norma baharu

SHAH ALAM, 1 JULAI: Ibu bapa dan penjaga digesa terus mendidik anak-anak mengenai amalan norma baharu bagi mencegah jangkitan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia penting untuk menjaga keselamatan dan kesihatan memandangkan sesi persekolahan bakal dibuka semula tidak lama lagi.

“Mereka perlu memberi nasihat kesihatan sewajarnya dari awal lagi bermula di rumah sendiri,” katanya pada sidang media Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pembukaan penuh sekolah untuk pelajar bukan kelas peperiksaan awam secara berperingkat mulai 15 Julai.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata susulan kes sifar dicatatkan membabitkan penularan tempatan dalam negara hari ini masyarakat tetap diminta untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekalkannya.

“Kementerian Kesihatan mengucapkan syabas terutama rakyat Malaysia di atas pencapaian ini. Bagaimanapun, kerjasama semua perlu supaya rantaian penularan jangkitan Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.


Pengarang :