Anggota Unit Operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meninjau harga jualan ketika mengadakan operasi pemeriksaan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMPHRP) 2020 di Pasar Dato Keramat Kuala Lumpur pada 22 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

Indeks Harga Pengguna merosot 1.9 peratus pada Jun 2020

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia merosot 1.9 peratus pada Jun 2020 berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh indeks pengangkutan yang susut 14.3 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Penurunan IHP keseluruhan ini telah didorong oleh penurunan indeks pengangkutan (-14.3 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.6 peratus), pakaian dan kasut (-1.1 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.2 peratus) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Dalam kenyataan, katanya IHP tanpa bahan api berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Jun 2020 berbanding 0.1 peratus yang direkodkan pada Mei 2020.

IHP tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

Mohd Uzir berkata purata harga RON95 yang rendah pada Jun 2020, iaitu RM1.54 seliter berbanding RM2.08 pada Jun tahun lepas, menyumbang kepada perubahan negatif indeks pengangkutan dan indeks keseluruhan.

Tambahan pula, katanya purata harga RON97 merosot kepada RM1.84 seliter berbanding RM2.51 manakala Diesel susut kepada RM1.71 seliter daripada RM2.18 dalam bulan sama pada tahun sebelumnya.

IHP secara bulanan mencatatkan kenaikan 1.0 peratus berbanding Mei 2020, katanya.

“Peningkatan itu telah disumbangkan oleh pengangkutan (7.8 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (0.4 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.4 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.1 peratus), minuman alkohol dan tembakau (0.1 peratus) dan kesihatan (0.1 peratus),” kata Mohd Uzir.

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -1.3 dan -2.7 peratus bagi Jun 2020 berbanding Jun 2019.

Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.7 peratus) diikuti oleh Sarawak (-2.6 peratus) dan Melaka (-2.6 peratus).

Bagaimanapun, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.5 peratus), Pahang (2.4 peratus), Perak (2.2 peratus), Johor (2.0 peratus), Pulau Pinang (1.9 peratus) dan Negeri Sembilan (1.7 peratus) yang melebihi paras nasional sebanyak 1.6 peratus bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada Jun 2020, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :